KUALA LUMPUR 16 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.
Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, supaya memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia semalam, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat (AS) berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.
"Mereka (kerajaan Gillard) tidak boleh hanya pergi ke Malaysia dan berkata, 'ini adalah negara Islam moden yang bagus'. Saya menganggap ia sebagai penghinaan," katanya seperti dipetik daripada laman berita The Australian hari ini.
Penghinaan yang disifatkan oleh Anwar itu dipercayai merujuk kepada pengiktirafan Gillard terhadap kemajuan negara semasa melakukan sesi lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua pembangkang itu berkata, Australia dan New Zealand selaku negara demokrasi contoh di Asia Pasifik sepatutnya mencontohi pendirian Indonesia yang memberi sokongan kepadanya berhubung isu liwat dan sebagainya.
Malah, beliau secara terbuka menganggap Indonesia sebagai sebuah negara sahabat baik dan sekutunya dalam menjayakan perjuangan reformasi bagi merampas Kerajaan Persekutuan daripada BN.
"Mana negara lagi yang kita patut lihat di Asia ini jika bukan Australia dan New Zealand. Kedua-dua negara ini perlu menyatakan pandangan dan keprihatinan mereka (tekanan kepada Malaysia) dan sudah tentu Indonesia sekarang adalah negara sekutu," katanya.
Dalam pada itu, The Australian melaporkan, Anwar dijangka bertemu dengan ahli-ahli Parlimen Australia di Canberra hari ini, bagi tujuan meraih sokongan di kala partinya sendiri sedang menghadapi masalah dalaman yang meruncing.
Ia ekoran penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan PKR sehingga menyaksikan Datuk Zaid Ibrahim mengambil keputusan mengejut untuk menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dan melepaskan semua jawatannya dalam parti.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga dijangka bertindak keluar parti Jumaat ini selepas muak dan kecewa dengan sikap hipokrit pemimpin PKR terutamanya Anwar dan 'anak emasnya' Azmin Ali.
"Kami menghadapi kesulitan memujuk kerajaan Australia untuk pergi ke Malaysia (bagi memberi tekanan), tetapi mungkin kita dapat memujuk ahli-ahli Parlimen bagi menyuarakan pendirian mereka," kata Anwar.