SUNGAI BULOH: Seorang wanita parah selepas kereta dipandunya merempuh tembok simen di lorong paling kanan Plaza Tol Kundang Barat, Lebuh Raya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR) arah ke Kuala Selangor, tengah hari Isnin.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, Nurul Atikah Jafri, 21, dari Batu 8 1/4 Gombak, yang memandu PERODUA Viva dilaporkan cedera parah akibat rempuhan kuat dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus, berkata kenderaan mangsa dari arah Selayang ke Puncak Alam dipercayai dipandu laju dan tidak sempat membrek ketika menghampiri plaza tol.
"Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk pada bahagian hadapan dan sisi kiri manakala pemandunya cedera pada muka dan tangan.
"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk memastikan punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, tadi.
Katanya, mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Susulan kejadian itu, satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol berkenaan menunjukkan detik kereta mangsa merempuh tembok plaza tol itu menjadi viral di laman media sosial.
Menerusi video lapan saat itu, dapat dilihat kenderaan mangsa meluncur laju dan terus merempuh tembok tiang plaza tol menyebabkan bahagian kiri hadapan kereta terbabit remuk.
Sementara itu, abang mangsa, Zakwan Jafri melalui status di laman Facebook memberitahu, adiknya kini dirawat di ICU untuk pemerhatian dan akan dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh terdekat.
4 comentários
Berwassap atau selfie kot..smpai tak perasan approaching tol gate..wallahwaqlam..
Muhammad Iqbal
Lajunya. Mengantuk???
mabuk ni