INDONESIA TUBUH AGENSI KHAS BASMI BERITA PALSU



JAKARTA: Indonesia akan menubuhkan sebuah agensi khas bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial, termasuk yang membabitkan negara luar seperti China.

Jurucakap presiden, Johan Budi, berkata agensi khas itu juga diberi mandat melindungi institusi kerajaan daripada diserang oleh penggodam.

Ketua Menteri Keselamatan, Wiranto, berkata tindakan itu perlu bagi mengekang kebanjiran berita palsu di media sosial yang penuh dengan unsur kebencian, fitnah dan penipuan.

"Kebebasan (bersuara) adalah dibenarkan dalam prinsip demokrasi tetapi ia juga perlu bersandarkan kepada undang-undang yang ada," katanya.

Antara lain agensi itu diberi tanggungjawab untuk memantau berita yang disebarkan dalam internet bagi memastikan ia bukan berita palsu.

Difahamkan, agensi itu akan dipantau oleh kementerian keselamatan dengan kerjasama beberapa lain-lain agensi kerajaan.

Langkah menubuhkan agensi khas itu diambil selepas Presiden Joko Widodo dalam mesyuarat kabinet Disember lalu, yang menyuarakan hasrat memerangi penyebaran berita palsu dalam kalangan 130 juta pengguna internet Indonesia.