KANAK-KANAK HILANG DITEMUI BERSAMA IBU KANDUNG DI KUALA KUBU BHARU



Kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, Hamsa Vharshallinee, yang dilaporkan hilang di Taman Desaria 1, Petaling Jaya petang Isnin dipercayai telah diambil oleh ibu kandungnya sendiri.  

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pihaknya menerima laporan polis pada pukul 9.38 malam tadi daripada ibu tirinya yang berusia 34 tahun di Balai Polis Sungai Way berkenaan kehilangan Hamsa.   

"Menurut pengadu, dia dimaklumkan oleh rakannya bahawa Hamsa telah dilarikan oleh seorang perempuan semasa berada di luar kawasan rumah datuknya di sini pada pukul 3 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Mohd Zani berkata siasatan awal mendapati Hamsa yang bersama keluarga bapanya diambil oleh ibu kandungnya yang berusia 34 tahun dan dibawa pulang kerumah wanita itu di Kuala Kubu Bharu, Selangor. 

Beliau berkata ibu kandung Hamsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kubu Bharu pada pukul 10.49 malam Isnin. 

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan merakam keterangan dari kedua-dua pihak," katanya.  

Pada Isnin, kehilangan Hamsa tersebar di laman sosial apabila pengguna facebook yang menggunakan nama 'We Are Malaysian Indians' memuat naik gambar kanak-kanak perempuan itu yang dilaporkan hilang pada 3.30 petang.