Apabila sebuah badan analisa bertaraf professional seperti Financial Times (FT) Research Team membuat kajian dan merumuskan bahawa jika ada pilihan raya umum ke- 14 di Malaysia, Barisan Nasional (BN) akan menang, maka mereka pastinya sudah merujuk kepada beberapa faktor besar untuk menghasilkan laporan itu.
Badan research FT yang memiliki kepakaran dalam risikan dan penilian secara mikro tentu juga telah melihat beberapa perkara yang gagal dilihat oleh rakyat Malaysia.
Selain unit kajian FT, majalah The Economist melalui The Economist Intelligent unitnya juga membuat rumusan yang sama dengan FT iaitu andaian kemenangan BN pada pru kelak. Berdasarkan andaian terbabit, adakah kedua-dua badan ini berpakat atau sudah diberi dedak oleh Datuk Seri Najib Razak?
Di Malaysia, dimana segelintir rakyatnya lebih suka mendengar kata-kata `pakar politik' kedai kopi dan facebooker yang kemahirannya entah dari mana, sudah tentu sekali tidak akan bersetuju dengan rumusan yang telah dibuat oleh badan profesional ini.
Dalam politik Malaysia dimana emosi dan persepsi lebih menjadi hakim, bukannya kajian dan realiti yang dijadikan ukuran sudah tentu akan melihat laporan yang dihasilkan itu sebagai tidak boleh dipakai dan tidak menepati cita rasa hari ini.
Ini kerana selama ini rakyat Malaysia keliru dengan apa yang mereka sangka benar. Pendirian politik rakyat Malaysia juga bersandarkan suka dan benci bukannya betul atau salah.
Jika sudah benci maka semuanya salah belaka dan begitulah sebaliknya.
Justeru tatkala pembangkang bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjatuhkan kerajaan BN, laporan berkenaan sudah pasti akan menyukarkan kerja mereka. Ini kerana ketika mereka cuba meracuni rakyat dengan propaganda dan dakyah negatif, tiba-tiba datang pula laporan positif dalam bentuk akademik yang telah mencurahkan air kepada api mereka.
Maka pasti sekali mereka terpaksa kembali ke papan lakar untuk merubah strategi baru menewaskan BN pada pru ke-14 ini.
Tun Mahathir yang hampa kerana gagal menumbangkan Najib seperti yang dilakukan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menggunakan tekanan dan arm twisting tactic, pasti akan merencanakan cara baru kerana inilah pilihan raya terakhir untuk menobatkan anaknya menjadi Perdana Menteri.
Laporan oleh FT dan The Economist itu tentunya berdasarkan kepada penyelidikan mereka selepas Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP berganding bahu bersama Tun Mahathir tanpa parti PAS.
Bukan sahaja mereka dapat melihat kehancuran akibat perebutan kerusi sesama komponen, malah konflik dalaman yang cuba disembunyikan oleh PKR dan PPBM juga turut diambil kira.
Ini akan mengakibatkan pertandingan tiga dan empat penjuru yang tidak dapat dielakkan kerana masing-masing terutama parti baru seperti PAN dan PPBM berperasan mereka boleh menang.
Dalam masa yang sama pula laporan agensi antarabangsa itu juga merujuk kepada sejarah kemenangan terakhir yang berpihak kepada BN iaitu pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar serta Sungai Besar pada tahun lepas.
Kemenangan berkenaan terjadi dikala kebencian paling memuncak dan serangan Tun Mahathir dilakukan ke tahap paling maksimum.
Justeru jelas sekali, pembangkang terutamanya Tun Mahathir akan menukar rencana dan ia diharapkan tidak akan melibatkan kerja anarki atau kerja sabotaj serta menghuru-harakan negara.
DAP pula sudah biasa dengan kekalahan walaupun rancangan dan sasarannya mungkin berbeza tetapi matlamatnya tidak pernah berubah walaupun jika terpaksa menunggu seribu tahun. Cuma mereka berharap agar dapat berkuasa ketika Lim Kit Siang masih hidup.
Yang merisaukan adalah Tun Mahathir. Banyak perkara yang beliau mahukan yang masih menjadi rahsia kepada rakyat. Disebabkan itu beliau mempunyai potensi untuk membuat kerja luar batasan dan berbentuk anarki kerana terdesak.
Jika gagal pada pru ke-14 kali ini, Tun Mahathir akan terlepas peluang merampas kuasa untuk anaknya selama-lamanya disebabkan faktor umur dan keupayaan. Jadi kita boleh mula memantau Tun Mahathir dan pada masa sama tidak terlepas daripada memerhatikan tindakan DAP.