PENGAJAR SEKOLAH MEMANDU MAUT KEMALANGAN DI KUALA KUBU BHARU





KUALA KUBU BHARU: Seorang tenaga pengajar sekolah pemandu maut manakala pelatihnya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berhampiran sebuah sekolah memandu di Jalan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu dekat sini hari ini.

Mangsa, Zainal Azman, 45, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini manakala pelatihnya, Muhammad Zulhelmi Zulkefli, 18, mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, Muhammad Zulhelmi sedang menjalani kursus pemanduan yang dikendalikan oleh Zainal sebelum kenderaan Perodua Viva dinaiki mereka dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan sama.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu menerima panggilan pukul 2.50 petang sebelum tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

“Kita mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan terbabit sebelum dihantar ke hospital bagi menerima rawatan. Namun Zainal disahkan meninggal dunia pukul 3.37 petang.

“Seramai tujuh anggota bersama pegawai dikerahkan bagi mengeluarkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Sani memberitahu, pemandu Perodua Viva yang melanggar kereta mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.