PENGUKUHAN DOLAR DEMI TRUMP AKAN TERUS LEMAHKAN RINGGIT


Bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bakal mengangkat sumpah pada 20 Januari ini dan dalam tempoh beberapa hari ini, kita dapat melihat bagaimana dolar semakin mengukuh.
Pengukuhan berkenaan antara lain adalah bertujuan bagi menunjukkan kehebatan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Trump yang telah menewaskan calon popular, Hillary Clinton mahu dilihat sebagai seorang yang mempunyai semangat nasionalisme yang kuat, apatah lagi selaras dengan kempennya yang menggunakan slogan `Make America Great Again'.
Pakar ekonomi pada hujung tahun lepas telah pun meramalkan bahawa Dolar Amerika Syarikat akan mengukuh menjelang tarikh angkat sumpah itu.
Jika kita lihat semula, pada hari di mana Trump diumumkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, pasaran saham seluruh dunia telah jatuh menjunam.
Malah pasaran selamat yang menjadi pilihan pelabur turut menjadi ketidaktentuan.
Namun kini, Dolar telah meningkat dengan kukuh dan antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada pengukuhan berkenaan adalah fiskal yang menyokong pertumbuhan, dasar penghantaran balik modal luar negara dan perlindungan perdagangan yang bakal dilaksanakan oleh Trump.
Dan sejarah sebelum ini juga menunjukkan bahawa Dolar akan sentiasa bergerak ke arah yang sama, selepas pertukaran Presiden baru.
Tempias kepada keadaan berkenaan bukan hanya memberikan kesan ke atas Ringgit malah pengukuhan Dolar turut melemahkan Pound, Euro serta Yen.
Bagaimanapun bagi Ringgit, berdasarkan institusi perbankan, ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah Trump memulakan tugas rasminya sebagai Presiden dan pasaran dapat menilai dasar yang dibentangkannya.
Malah Ringgit dijangka pulih dengan berada pada paras lebih baik berbanding Dolar Amerika Syarikat dalam suku ketiga tahun ini setelah ketidakpastian pasaran terhadap kadar faedah dan dasar ekonomi Trump reda.
Justeru persepsi persepsi negatif terhadap ekonomi negara yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang yang dilihat hanya berdasarkan kepada nilai Ringgit ketika ini, sebenarnya tidak menggambarkan realiti sebenar.
Hakikatnya ekonomi negara masih kukuh dan diuruskan dengan baik meskipun berdepan situasi ekonomi global tidak menentu berikutan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat itu.