DAP Persenda Impian Mahathir


BEBERAPA ahli Pas berkumpul di depan Masjid Jamek Lebuh Acheh Pulau Pinang bagi menyatakan sokongan kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang menolak kerjasama dengan DAP dan sekutunya
DAP mempersendakan impian Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mewujudkan logo bersama ‘Pakatan Harapan’ yang dike­tuai parti itu dengan menyifatkan ia hanya bermatlamat jangka pendek.

Ahli Jawatankuasa DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara itu tidak penting ketika ini dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dinasihatkan untuk mengutamakan rangka kerja bersama sebelum memikirkan soal tersebut.

Ahli Parlimen Puchong itu menjelaskan, langkah ber­kenaan lebih penting bagi memastikan gabungan parti pembangkang mempunyai hala tuju jelas untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Rakyat perlu diyakinkan bahawa pakatan pembangkang bukan hanya untuk mencapai matlamat jangka pendek tetapi dilihat terus kekal dan mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik. Kita harus jelas dalam apa yang kita mahukan dan apa hala tuju yang akan diambil sebelum PRU-14 bermula.

“Tanpa itu, cadangan mewujudkan satu logo malah pakatan pembangkang itu sendiri akan kehilangan tarikan­nya kerana rakyat mera­gui kemampuan kita da­lam jangka masa panjang,” katanya seperti dipetik menerusi roketkini. com hari ini.

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri itu menyarankan agar setiap parti dalam pakatan pembangkang tidak terlalu memikirkan mengenai kepentingan parti masing-masing sahaja.

Justeru kata beliau, pakatan pembangkang perlu menggunakan satu logo dalam PRU-14 bagi menunjukkan kesepakat­an antara mereka.