Raja Arab Saudi tiba


SEPANG: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud telah tiba di Malaysia bagi kunjungan rasmi selama empat hari ke negara ini sehingga Rabu ini.

Pesawat rasmi yang membawa baginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci itu mendarat di Kompleks Bunga Raya, di sini pada pukul 10.32 pagi ini.

Ketibaan baginda itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta anggota Kabinet.

Baginda seterusnya membuat pemeriksaan kawalan kehormat setempat terhadap 24 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai Leftenan Mohamad Akmal Mazlan.

Ini merupakan kunjungan pertama Raja Salman ke Malaysia selepas ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015.

Selain perbincangan berkaitan hubungan diplomatik dan ekonomi, topik lain bakal menjadi keutamaan untuk diketengahkan, termasuk berkaitan isu kuota haji Malaysia.

Selepas Malaysia, baginda dijadualkan turut melakukan kunjungan rasmi ke Indonesia, China, Maldives dan Jepun.