Pelaburan Saudi ARAMCO Dan PETRONAS - Menepis Perpsepsi Jahat Pembangkang


1. Pagi ini, di Dewan Rakyat ketika menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen DAP YB Kampar, saya telah disoal mengenai pelaburan Saudi ARAMCO di Pengerang.

2. Saya tidak marah kepada YB Kampar, tetapi kesabaran saya tercabar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab termasuklah warga asing, yang acap kali berusaha memburuk dan merosakkan persepsi pelabur yang ingin melabur dalam ekonomi negara.

Negara nyaris kehilangan pelaburan yang bernilai USD7 bilion kerana tindakan yang tidak patriotik sesetengah pihak.

Hari ini, soalan Ahli Parlimen DAP dari Kampar sekali lagi menunjukkan ada unsur-unsur ingin memberi gambaran buruk tentang ekonomi negara dengan mengutip fakta dari tepi jalan dan diangkat ke Dewan Rakyat yang mulia. 

3. Soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen DAP dari Kampar sarat dengan insinuasi yang nakal dan tidak bertanggungjawab. Tujuannya untuk mengelirukan rakyat supaya marah dengan kerajaaan. YB Kampar mengatakan kononnya Saudi Aramco hanya perlu membayar 35% (RM31 billion) daripada kos keseluruhan projek RAPID sebanyak RM89 billion tetapi mendapat 50 peratus ekuiti di dalam projek tersebut. Soalan YB Kampar ini bermaksud Kerajaan dan juga PETRONAS memberi faedah terlalu banyak kepada Saudi Aramco dan telah membelakangkan kepentingan rakyat.

4. YB Kampar sepatutnya membaca atau membuat kajian sebelum mengutarakan soalan yang tidak berkualiti dan hanya bertujuan menghasut rakyat. Semua maklumat berada dalam ruang lingkup pengetahuan umum. Izinkan saya menjelaskan di sini, Kompleks Bersepadu Pengerang (Pengerang Integrated Complex – PIC) merangkumi:

(a) Kompleks Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID); dan 

(b) Fasiliti berkaitan seperti Loji Kogen Pengerang (Pengerang Cogeneration Plant), Terminal Regasifikasi 2 (Regasification Terminal 2), Unit Pemisah Udara (Air Separation Unit), Projek Bekalan Air Mentah (Raw Water Supply Project) , Terminal Pukal Cecair (Liquid Bulk Terminal) dan juga Fasiliti Utiliti Berpusat (Centralised and Shared Utilities and Facilities)

5. Kos keseluruhan pembangunan PIC berjumlah RM89 billion atau USD27 billion berdasarkan kadar tukaran ringgit pada waktu tersebut (~2014). Pecahan kos ini pula adalah seperti berikut:

i. Komponen (a) – USD16 billion; dan

ii. Komponen (b) – USD11 billion.

6. Kos keseluruhan sebanyak USD27 billion ini tidak pernah berubah untuk setakat ini.

7. Pada 28 Februari 2017, Aramco dan PETRONAS telah menandatangani perjanjian jual beli saham untuk pegangan sebanyak 50 peratus di dalam sebahagian dari fasiliti di dalam komponen (a) merangkumi loji penapisan, loji perekah dan juga sesetengah kompleks petrokimia. Dianggarkan nilai pelaburan untuk kepentingan sebanyak 50 peratus di dalam fasiliti tersebut bernilai sebanyak USD7 billion (USD14 billion @ 100%). Di mana baki RM2 billion adalah untuk pembangunan fasiliti petrokimia yang lain. Maknanya, Saudi Aramco hanya melabur dalam sebahagian daripada keseluruhan Kompleks PIC. 

8. Memandangkan pelaburan oleh Aramco tidak melibatkan kepentingan sebanyak 50 peratus bagi keseluruhan Kompleks PIC, isu membelakangkan kepentingan rakyat Malaysia dan tuduhan memberi faedah terlampau banyak kepada Aramco oleh Kerajaan ataupun PETRONAS adalah tidak wujud sama sekali kerana pelaburan hanya melibatkan fasiliti terpilih.

Saya berharap Ahli-Ahli Parlimen DAP lebih bertanggungjawab dan membaca semua maklumat umum mengenai PIC sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas. 



Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri