JAKARTA: Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Gabenor Jakarta menunjukkan kemenangan berpihak kepada gandingan Anies Baswedan dan Sandiaga Uno.
Media portal tempatan melaporkan penyandang jawatan, Basuki Tjahaja Purnama dan timbalannya Djarot Saiful Hidayat gagal mempertahankan jawatan masing-masing setelah kalah dalam pemilihan pusingan kedua, Rabu.
Anies ialah bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia manakala Sandiaga pula seorang ahli perniagaan.
Setakat pukul 7 malam waktu tempatan, pasangan Anies-Sandiaga telah mendahului undian dengan mendapat 55.41 peratus.
Anies-Sandiaga dipetik oleh media tempatan sebagai berkata mereka akan menyelesaikan masalah yang menimpa Jakarta ketika ini.
"Komitmen kami...kami akan terus konsisten memfokuskan pada keadilan sosial serta memperjuangkan perpaduan di Jakarta," kata Anies di kediaman Ketua Umum Partai Gerakan Indonesia Raya-(Gerindra) Prabowo Subianto, Rabu.
Sementara itu, Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok dilaporkan mengucapkan tahniah kepada gandingan Anies-Sandiaga yang mengalahkan mereka.
Kedua-duanya juga meminta agar penyokong mereka tetap menjaga perpaduan.
"Jangan sedih kerana Tuhan yang memberi dan yang mengambil. Kami akan bekerja dengan cepat untuk baki enam bulan ini. Selama ini kami telah menerapkan kerajaan terbuka, dan kami terbuka untuk Pak Anies-Sandi minta data apa saja," kata Ahok dalam ucapannya di sebuah hotel di sini.
Pilihan Raya Gabenor Jakarta terpaksa diadakan secara dua pusingan ekoran tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus pada pusingan pertama Februari lepas.
Pusingan kedua ini menyaksikan gandingan Ahok dan Djarot dicabar Anies dan Sandiaga.
Sistem pilihan raya itu mewajibkan seseorang calon melepasi 50 peratus daripada jumlah undi keseluruhan untuk dilantik sebagai Gabenor Jakarta merangkap ketua eksekutif daerah bagi tempoh lima tahun.