Ronnie Liu Dari DAP Mengaku Berjumpa Dengan Kaunselor Politik Amerika Syarikat Bincang Pembebasan Anwar Ibrahim Dari Penjara

Dalam ucapan beliau di Rusila, Marang, pada 10 April 2017, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah menyebut mengenai kewajaran PAS berunding dengan UMNO dengan membandingkannya dengan tindakan DAP “berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia”.

Ekoran kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, telah membuat kenyataan ini “sebagai suatu fitnah jahat” sambil meminta beliau “tunjukkan bukti pemimpin DAP mana yang berpakat dengan Amerika Syarikat.

“Lagipun, kita (DAP) tidak ada hubungan seperti yang dikatakan oleh Abdul Hadi, bukan sahaja dengan Amerika Syarikat, malah Singapura…janganlah baling batu sembunyi tangan,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Menyusuli kenyataan Lim Guan Eng ini adalah tindakan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh, membuat laporan polis ke atas Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, pada 13 April 2017, dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai “pembohongan nyata dan tidak benar sama sekali”.

Agak menghairankan bila pemimpin DAP mengeluarkan reaksi terlalu keras terhadap kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini sedangkan, sekadar satu contoh, seorang pemimpin DAP, Ronnie Liu, telah secara terbuka mengaku di dalam akhbar Suara KeADILan milik PKR keluaran 11 April 2017 bahawa beliau berjumpa dengan Kaunselor Politik Amerika Syarikat, Tressa Finerty, bagi membincangkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Sumber: "Tetap Tahanan Politik, Perlu Bebas Segera", Suara KeADILan, 11 April 2017.

Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia.

***********
Hadi Dedah DAP Berunding Dengan Negara Asing Ubah Politik Malaysia



Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata salahkah beliau dan parti Islam pimpinannya berunding dengan UMNO untuk melaksanakan syariat Islam, berbanding dengan DAP yang berunding dengan negara asing untuk merubah politik Malaysia.

“Dalam perbahasan Parlimen Bajet yang lalu (pun) saya sudah bawa (RUU Akta) 355 ini. DAP mempertikaikan PAS berunding dengan UMNO, saya kata (tanya) tak bolehkah PAS berunding dengan UMNO kerana untuk melaksanakan syariat.

“Kerajaan Pulau Pinang boleh berunding untuk bahas pasal jambatan Pulau Pinang, DAP boleh bincang untuk projek Pulau Pinang. Kita tidak boleh nak bincang untuk melaksanakan syariah. Tidak boleh (bincang dengan UMNO)?,” soalnya ketika berceramah di Rusila malam tadi.

Beliau menegaskan, PAS boleh berunding dengan UMNO, malah dengan siapa sahaja untuk melaksanakan Islam namun tidak akan berunding dengan pihak luar khususnya kuasa asing untuk campurtangan dalam negara ini.

“Sedangkan dia berunding dengan Amerika… dengan negara asing pun dia berunding …dengan kedutaan asing pun dia berunding. Berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia.

“Kita tidak sampai tahap itu..nak suruh negara asing campurtangan negara ini. Kita berunding dengan UMNO sahaja sama-sama Melayu, Islam, itu salah? Dia berunding dengan Amerika tak apa, berunding dengan negara asing tak apa.

“Politik Malaysia biar orang Malaysialah yang buat perubahan. Tidak perlu jemput Amerika mari, tak perlu jemput negara asing mari.. Ini saya dedah di sini, kalau ada pemberita siar, biar orang tahu,” katanya.