Ayuh Bangkit Bersama, Cipta Pencapaian Terbaik Untuk Negara

Semalam detik bersejarah buat negara dan seluruh rakyat Malaysia. Semua orang tertumpu menyaksikan kayuhan emas ke-111 oleh juara dunia, Azizul Hasni Awang di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai.

Kayuhan emas yang mengesahkan Malaysia selaku juara Sukan Sea buat kali kedua sejak kali pertama melakukannya pada 2001. Inilah topik yang dibincang rakyat Malaysia semalam, 111 pingat emas.

Biarpun ada lagi 67 pingat emas dipertandingkan, namun Malaysia sudah sah bergelar juara Sukan Sea edisi ke-29 di Kuala Lumpur. Kemenangan ini dijangka akan menjadi lebih manis jika Harimau Malaya berjaya memenangi ibu segala pingat emas di Stadium Shah Alam pada malam ini.

Penuh sesak Stadium Shah Alam kerana mahu saksikan Harimau Malaya beraksi. Ada yang datang beratur sejak jam 1 pagi lagi untuk dapatkan tiket. Inilah sokongan yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap pasukan negara.

Selepas “Speedy Jantan” trending ketika menang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara, giliran N Thanabalan pula menjadi trendingpada malam 26 Ogos setelah menjaringkan gol menumpaskan skuad Garuda. Malam ini, seluruh negara akan berhenti seketika bercerita soal topik lain. Hanya ada satu topik sahaja iaitu bola pada malam ini.

“Saya tertarik hati semalam bila saya tengok bola antara Malaysia dan Myanmar, saya tengok dalam tv. Sebab dia orang tidak bagi saya pergi. Dia kata Dato hanya boleh pergi kalau final sahaja” kata Dato Seri Najib.

Malam ini, Malaysia masuk final. Harimau Malaya akan mendapat sokongan daripada Perdana Menteri sendiri pada malam ini di Shah Alam.

“Bila saya tengok gol Malaysia, gol nombor dua dan gol nombor tiga itu hebat. Dengan dia punya passing itu tepat betul dan dia punya diving header itu pun hebat. Saya tengok hebat” kata Dato Seri Najib.

Permainan taktikal Harimau Malaya diakui hebat oleh Dato Seri Najib. Malam ini seluruh negara akan mendoakan agar pasukan negara menzahirkan kemenangan emas di Shah Alam. Sukan Sea ini menjadi platform rakyat bersatu hati dan bersama sama sokong pasukan negara.

Malaysia bukan sahaja menang dalam Sukan Sea malah dalam bidang ekonomi pun sekarang negara kita berada pada kedudukan yang terbaik di dunia.  Laporan Global Economic Prospects, World Bank pada Jun 2017 telah unjurkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus tumbuh pada kadar 4.9% pada 2018 dan 5% pada 2019.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2017 diunjur berkembang melebihi lima peratus berdasarkan beberapa faktor yang mampu mengukuhkan pendapatan negara, terutama perbelanjaan sektor swasta dan peningkatan eksport.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun 2017, yang mencatat 5.8 peratus, sekali gus menjadi pertumbuhan suku tahun tertinggi sejak suku pertama 2015. Kadar 5.8% ini melebihi jangkaan laporan yang dibuat oleh Bank Dunia itu.

"Kerajaan turut optimis dengan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sepanjang tahun ini, yang mampu melonjakkan jumlah KDNK menjelang hujung tahun ini.

"KDNK yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menunjukkan ekonomi negara terus berada pada kedudukan terbaik iaitu melebihi jangkaan 4.8 peratus, malah mungkin melebihi lima peratus," kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah

Kedudukan 5.8% KDNK Malaysia ini adalah lebih baik berbanding negara negara lain seperti Amerika Syarikat (2.1%), Eropah (1.7%), Jepun (1.5%), Indonessia (5.2%), Brazil (0.3%) dan Turki (3.5%).

Ini bukti bahawa Malaysia juga bukan setakat jaguh sukan di rantau Asia Tenggara tetapi pencapaian ekonomi kita juga antara yang terbaik di dunia.

Semalam ramai berebut tiket bola di Shah Alam, hari ini pula ramai penerima BR1M beratur di depan bank. Ini kerana pembayaran BR1M sudah masuk.  29 Ogos adalah tarikh pembayaran BR1M  bagi membantu rakyat menyambut Hari Raya Aidiladha.

Seramai 6,320,769 orang menerima manfaat BR1M ini. Melibatkan peruntukan RM5.41 billion. Sejumlah RM1,200 diagihkan kepada 3,242,048 penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan RM900 kepada 291,918 orang penerima isi rumah berpendapatan antara RM4,000 ke bawah dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 kepada penerima bujang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Bukan sahaja jaguh sukan dan ekonomi, malah kehidupan di negara kita  juga aman dan makmur. Ini satu nikmat yang paling besar dari Tuhan Yang Maha Esa tatkala negara negara lain berhadapan konflik ketidakstabilan ekonomi dan kekacauan sesama sendiri.

Malaysia adalah negara ke-29 paling aman di dunia menurut ranking Global Peace Index 2017. Di Asia, kedudukan Malaysia adalah di tangga ke-4.

Malaysia adalah negara yang lebih aman berbanding negara negara berikut, seperti United Kingdom (ke-41), Korea Selatan (ke-47), Perancis (ke-51), Amerika Syarikat (ke-114), China (ke-116), India (ke-137) dan Russia (ke-151).

Maka, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan pencapaian pencapain ini. Pencapaian sukan, ekonomi dan keamanan negara ini bukan datang begitu sahaja. Ianya datang melalui usaha dan kerja yang konsisten demi negara Malaysia.

Malam ini ayuh seluruh rakyat Malaysia. Kita bangkit bersama sama menyanyikan lagu Negaraku sebelum skuad Harimau Malaya beraksi. Kibarkan Jalur Gemilang dan berikan sorakan kemenangan kepada skuad negara pada malam ini. Mari bersama sama kita cipta sejarah bersama.