Aziz Kaprawi Sahkan Pihak Tawar Cari MH370 Percuma


Sebuah firma penerokaan dasar laut di Amerika Syarikat menawarkan bantuan untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines, kata waris penumpang dan seorang menteri Malaysia hari ini.

Salah seorang waris, Grace Nathan berkata, syarikat AS dikenali sebagai Ocean Infinity menawarkan diri untuk meneruskan pencarian MH370 secara percuma dan hanya meminta ganjaran jika pesawat terbabit ditemui.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dilaporkan menghantar pesanan teks kepada Reuters mengesahkan pihak berkuasa menerima tawaran itu, tetapi belum memutuskan sama ada akan menerimanya.

Bagaimanapun seorang jurucakap Ocean Infinity enggan mengulas tawaran itu.

Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru.

Tahun lalu, Australia dan Malaysia menolak cadangan penyiasat untuk memperluaskan pencarian ke kawasan seluas 25,000km persegi di utara dari kawasan pencarian asal di selatan Lautan Hindi, memandangkan lokasi baru yang dikenal pasti sangat tidak tepat.

Australia, Malaysia dan China menghentikan misi pencarian pesawat itu pada Januari lalu walaupun dibantah waris mangsa.