Kenapa Azmin Takut Nak Ikrar Bebas Rasuah Templak Mat Nadzari

Pandai dia cabar orang kemukakan bukti untuk dakwa Dr Mahathir, tetapi kenapa diri dia sendiri takut untuk laksana ikrar bebas rasuah, tempelak Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menurut Mat Nadzari, tindakan Menteri Besar Selangor itu yang mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak selari dengan keengganan kerajaan negeri pimpinannya melaksanakan ikrar bebas rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, jika Azmin mencabar individu yang mendakwa Dr Mahathir memiliki wang sebanyak RM83 bilion di Taiwan menggunakan saluran yang betul dengan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa, kenapa Azmin dan kerajaannya berdolak dalih dan enggan melaksanakan ikrar bebas rasuah tersebut.

“Dalam membela Dr Mahathir, boleh pulak dia berkata begitu, sepatutnya dia pun kena buktikan untuk melakukan ikrar tersebut.

“Dia suruh orang ikut saluran yang betul dan tunjukkan bukti, takkan nak ikrar bebas rasuah pun tak berani. Kalau tak buat kesalahan kenapa perlu takut,” tempelak ADUN Batang Kali tersebut.

Tambah Mat Nadzari lagi, tindakan Azmin dalam 2 perkara berbeza ini mencerminkan Menteri Besar itu tidak mengamalkan prinsip ketelusan dan integriti dalam diri beliau dan Kerajaan Selangor.

“Ikrar bebas rasuah itu adalah perkara biasa dan untuk menyedarkan kita bahayanya gejala rasuah kepada negara.

“Sepatutnya Menteri Besar mesti menunjukkan contoh yang baik, mesti mengamalkan prosedur dan saluran betul dalam segenap hal.

“Ini tidak, bila ada kepentingan politik melibatkan diri dia dan PH boleh pulak suruh guna kaedah betul dan kemukakan bukti. Walhal ikrar SPRM itu biasa sahaja. Ini yang menjadi persoalan kepada rakyat Selangor,” katanya lagi ketika dihubungi.

Pada masa yang sama, Mat Nadzari membidas Azmin yang dilihat cepat melatah dalam tindakannya mempertahankan Pengerusi PPBM tersebut.

“Apa yang dia goyah sangat, apa yang cepat sangat melatah. Minggu ni sahaja bukan main lagi, dua kali dia keluarkan kenyataan pertahankan Dr Mahathir.

“Azmin melatah dan menuduh melulu Perdana Menteri menjadi dalang kekecohan program Nothing To Hide tempoh hari, semalam dia bela lagi Dr Mahathir.

“Saya nampak tindak tanduk dia mempertahankan Dr Mahathir ini lebih bersungguh daripada membela nasib dan kebajikan rakyat Selangor. Adalah malang rakyat Selangor mendapat Menteri Besar seperti ini yang asyik berpolitik tetapi lupa untuk peduli nasib mereka,” tegas Mat Nadzari lagi.

Dakwaan Dr Mahathir memiliki wang tunai RM83 bilion di Taiwan ketika zaman beliau berkuasa timbul menerusi pendedahan seorang individu bernama Abdul Hameed Gula Maiden.

Abdul Hameed mendakwa dirinya adalah pegawai tidak rasmi Dr Mahathir dan mengetahui Pengerusi PH itu menyeludup sejumlah wang tersebut sekitar tahun 1982 hingga 1995, selain mempunyai maklumat wang RM500 dan RM1,000 yang masih disimpan di Taiwan - bnbbc.my