1. Suku kedua 2017 menyaksikan KDNK Malaysia berkembang pada kadar 5.8 peratus, lebih pesat berbanding suku tahun sebelumnya iaitu 5.6 peratus. Kenaikan kadar perkembangan yang lebih kukuh disebabkan permintaan domestik yang berterusan serta sektor luaran yang lebih baik. Aktiviti-aktiviti ekonomi yang lebih rancak dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, dan pembinaan merupakan enjin utama dalam memacu perkembangan ekonomi dalam suku tahun kedua.
2. Sementara itu, penggunaan swasta mencatatkan perkembangan terpantas sejak suku pertama 2015 - satu petanda keyakinan pengguna yang tinggi, disokong oleh dasar-dasar kerajaan seperti BR1M dan peningkatan pendapatan isi rumah. Manakala pertumbuhan pelaburan kekal positif dengan sumbangan sebanyak 27 peratus kepada KDNK negara.
3. Semalam, Fitch mengesahkan penarafan Malaysia sebagai ‘A-‘ berdasarkan pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh berbanding negara-negara lain yang mempunyai markah penarafan yang sama. Agensi berkenaan turut menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK negara tahun 2017 kepada 5.1 peratus daripada 4.5 peratus di dalam anggaran sebelumnya. Moody’s Investor Service turut mengeluarkan laporan bertajuk “Kerajaan Malaysia: Profil kredit berdaya tahan di sebalik faktor kelemahan luar” yang mengesahkan daya ketahanan negara walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global. Agensi-agensi global lain seperti Bank Dunia dan IMF turut menyemak dan menaikkan unjuran perkembangan KDNK negara sebelum ini.
4. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, sering kali kita dengar ramalan dan telahan dari sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa kononnya ekonomi negara kita berada di ambang keruntuhan, bahawa kerajaan akan bankrap, para pelabur meninggalkan negara, dan sebagainya. Namun ramalan mereka berkali-kali dibuktikan salah. Angka rasmi yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Negara hari ini sekaligus mengesahkan bahawa pihak tidak bertanggungjawab ini tidak harus diambil serius apabila mereka bercakap mengenai ekonomi negara.
5. Momentum pertumbuhan terus kekal kukuh, pelaburan terus mengalir masuk dan ekonomi terus kekal mantap di sebalik ketidaktentuan dan keadaan luar yang mencabar. Ini adalah kerana, pengurusan ekonomi yang cemerlang oleh kerajaan di bawah kepimpinan yang berkesan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak - yang juga telah memperkenalkan Program Transformasi Negara, di mana ia telah pun membuahkan hasil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
6. Rekod beliau dalam menguruskan ekonomi telah pun terbukti. Sokongan dari seluruh rakyat Malaysia amat penting bagi membolehkan beliau meneruskan agenda ekonomi yang dapat menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan, dan dapat meningkatkan taraf pendapatan rakyat, dan ini akhirnya membolehkan negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
******
Kenyataan Media
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
18 gos 2017