Saman Fitnah: Sarawak Report Takut Tewas Kepada PAS

SIAPA tidak mengenali Sarawak Report dan pengasas serta editor portal itu, Clare Rewcastle Brown?

Umum pastinya mengetahui kewujudan portal berita itu mempunyai motif tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan negara.

Portal berita itu hanya bertujuan menyebarkan fitnah untuk menjejaskan reputasi pemimpin negara.

Adakah rakyat perlu terus mempercayai maklumat atau berita yang diterbitkan oleh portal berita itu?

Bekas pengarang portal berita itu, Lester Melanyi sendiri mengakui 90 peratus berita yang diterbitkan oleh Sarawak Report adalah palsu dan telah diubah suai.

Turut diakui terdapat dokumen-dokumen pada Sarawak Report telah diusik dan kesahihannya sudah tentu dipersoalkan.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia jangan kelam-kabut menerima laporan portal berkenaan kerana hampir semuanya tidak benar dan palsu.

Antara fitnah portal itu adalah dakwaan kononnya sebanyak RM90 juta disalurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha mempengaruhi pucuk pimpinan PAS supaya tidak menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang.

Susulan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk menyaman portal berita itu.

Pada 21 April lepas, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memfailkan saman fitnah di Mahkhamah Tinggi London terhadap Clare Rewcastle Brown.

Saman yang difailkan Abdul Hadi bertujuan mendapatkan sejumlah ganti rugi dan perintah injunksi berikutan penyiaran sebuah artikel di laman Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Artikel itu termasuk yang boleh difahami bahawa Presiden PAS secara peribadi telah menerima atau mendapat atau meluluskan penerimaan sejumlah besar rasuah daripada Perdana Menteri sebagai pertukaran untuk berkompromi dalam hal pendirian politik PAS.

Pada 2 Ogos lepas telah dijalankan pengurusan kes saman Presiden PAS itu terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi London.

Pada hari berkenaan, kehadiran enam pegawai kanan Kedutaan Malaysia di London dalam pengurusan kes saman tersebut sekali gus menarik perhatian laman berita portal internet itu.

Sejurus selepas itu, portal berita berkenaan mengeluarkan artikel 'Siapakah yang membantu pemimpin 'pembangkang' PAS, Hadi Awang, dalam samannya terhadap Sarawak Report?'.

Sarawak Report turut melaporkan kos yang ditanggung Presiden PAS untuk membayar khidmat peguam Carter Ruck yang berjumlah RM3,000 (£500) untuk sejam.

Malah, Sarawak Report menganggarkan kos yang dibelanjakan Presiden PAS bagi urusan mahkamah setakat ini adalah RM600,000 (£100,000).

Sarawak Report juga mempersoalkan pihak yang membantu membiayai tindakan undang-undang itu.

Ini memandangkan kempen pungutan derma dalam kalangan ahli PAS yang dilancarkan pada Mac lepas hanya berjaya mengutip £13,000 (RM78,000) sahaja.

Persoalannya, adakah Sarawak Report bimbang jika ada pihak yang membiayai PAS dalam saman berkenaan?

Adakah portal berita itu takut akan tewas kerana tindakan mereka memfitnah PAS dan Najib?

Jika berani kerana benar, Sarawak Report tidak akan mempersoal jika ada pihak yang sanggup membiayai PAS sekalipun.

Kita lihat Sarawak Report sendiri, adakah mereka bergerak atas modal atau pelaburannya sendiri?

Siapa pula yang membiayai portal berita itu untuk memfitnah pemimpin negara?

Persoalan itu yang perlu dijawab dahulu oleh Sarawak Report sebelum mahu mempersoal jika ada pihak yang membiayai PAS dalam saman itu.

Ternyata Sarawak Report gelabah atau tidak boleh duduk diam apabila ada wakil Kedutaan Malaysia hadir pada pengurusan kes saman Abdul Hadi terhadap portal berita itu.

PAS tetap menyatakan akan tetap melawan dalam kes saman berkenaan biarpun menghadapi masalah kewangan.

Adakah tindakan nekad PAS itu menggerunkan Sarawak Report?

Apa lagi isu atau fitnah serta persoalan yang akan dicipta Sarawak Report dalam kes saman tersebut?

Rakyat pastinya ingin mengetahui kenapa Sarawak Report mendakwa serta memfitnah PAS dan Najib seandainya kes ini dibicarakan kelak.

Tindakan Sarawak Report memfitnah kepemimpinan tertinggi PAS dan Perdana Menteri seharusnya membuka mata rakyat mengenai wajah sebenar portal berita propembangkang itu.

Selain menunjukkan portal tersebut tidak memiliki kredibiliti, fitnah itu juga membuktikan Sarawak Report mempunyai agenda jahat.

Portal berita propembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan negara.

Kejadian itu pasti mencelikkan mata segelintir rakyat yang menjadikan Sarawak Report sebagai rujukan apabila mahu berhujah dalam sesuatu isu.

Bagaimana hendak percaya sedangkan portal berita itu tidak mempunyai kredibiliti dan sanggup mengeluarkan berita fitnah demi mencapai agendanya menjatuhkan negara ini.

Bukan satu fitnah, tetapi bermacam-macam fitnah sudah dibuat Sarawak Report.

Tidak salah untuk rakyat membaca kenyataan atau berita portal berita itu, tetapi selidik dahulu kebenarannya dan jangan mudah percaya 100 peratus kepada semua berita mereka.

Pastinya Sarawak Report menjadi portal paling gembira seandainya ada rakyat yang masih percaya kepada fitnah mereka.

Jangan mendewakan Sarawak Report sehingga akhirnya memakan diri sendiri seperti menang sorak kampung tergadai.