Najib Terharu Sambutan 'Luar Biasa' Penduduk Penampang

PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terharu dengan sambutan yang dianggap 'luar biasa' daripada penduduk Penampang terhadap kunjungannya ke Pasar Donggongon di sini hari ini.

Meskipun Penampang bukan kawasan Parlimen yang diterajui Barisan Nasional (BN), namun kehadiran kira-kira 5,000 penduduk daerah itu ketika kunjungannya nyata menggembirakan pemimpin Nombor Satu negara itu.

Najib, yang mengenakan tanjak masyarakat Kadazan dikenali sebagai 'sigah', tiba di perkarangan pasar berkenaan pada pukul 4 petang disambut oleh peniaga dan penjual di pasar itu yang berpusu-pusu mencari peluang untuk merakamkan gambar Perdana Menteri.

Malah, ada yang terpaksa berswafoto ketika Najib beramah mesra dengan peniaga, semata-mata mahu pemimpin itu kelihatan dalam gambar peribadi mereka.

"Terima kasih kepada PM kita yang berbesar hati sudi datang ke tapak tamu (pasar) Donggongon dan sudi melihat kami berniaga di sini," kata penjual tembakau Juita Jamal, 27.

Asila Gomoru, 58, yang menjual anyaman bakul, melahirkan perasaan bangga di atas kesudian Najib untuk melawat pasar itu.

"Saya bangga PM dapat datang untuk melawat kami peniaga di sini dan dapatlah beliau melihat keadaan kami di sini," katanya.

Prihatin dengan keadaan peniaga dan pembeli di pasar itu, Najib mengumumkan peruntukan RM8.5 juta bagi menaik taraf pasar berkenaan.

Selepas melawat gerai di pasar itu, beliau turut menjamah buah-buahan tempatan di pasar berkenaan yang turut disertai Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau dihidangkan minuman jus kelapa sebelum menjamah buah-buahan seperti 'tarap', durian dan manggis.

Beliau sempat memberi tanda bagus kepada jurugambar yang merakamkan lawatannya.