Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang diilhamkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), membantu dalam memberi sokongan di peringkat isi rumah dengan membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan tekanan daripada rasionalisasi subsidi yang dilakukan oleh kerajaan.
Menurut bank negara, BR1M telah menyokong penggunaan dan pertumbuhan kerana kecenderungan marginal golongan berpendapatan rendah adalah tinggi.
"Jangka masa selepas BR1M juga menyaksikan pelarasan secara beransur-ansur dan teratur dan penghapusan subsidi dan kawalan harga.
"Dengan perubahan harga yang lebih sedikit, ekonomi juga menjadi lebih fleksibel dan cepat dalam melaraskan dengan kejutan, dan oleh itu menyumbang kepada pertumbuhan dan peningkatan pendapatan yang mapan," kata bank pusat itu dalam jawapan bertulis kepada Bernama ketika ditanya mengenai kesan BR1M.
Mengenai sama ada pembayaran BR1M adalah untuk memenangi hati rakyat, BNM berkata ia hanya menumpukan kepada pertimbangan ekonomi yang mana adalah membantu golongan miskin dan memastikan subsidi tersasar adalah lebih cekap dan dilaksanakan secara berkesan.
Ia juga mengakui bahawa idea BR1M mula-mula dicadangkan semasa Taklimat Lembaga Pengarah BNM kepada Perdana Menteri pada Mac 2011.
Cadangan itu dipertimbangkan dan dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat Majlis Ekonomi selepas itu pada bulan Mac dan Ogos 2011, kata BNM.
"Pada dasarnya, cadangan itu adalah untuk membantu golongan yang layak secara langsung apabila subsidi menyeluruh Kerajaan secara beransur-ansur dikurangkan," katanya.
Ia menjelaskan bahawa sebelum pengenalan BR1M pada tahun 2012, Kerajaan sudah berada di jalan ke arah penyatuan fiskal, yang termasuk rasionalisasi subsidi.
"Bagaimanapun, tidak wujud mekanisme lain untuk membantu golongan miskin dan yang terjejas oleh tindakan ini.
"BR1M bertujuan menjadi bantuan langsung dan tersasar kepada golongan berpendapatan rendah untuk meringankan tekanan yang timbul daripada rasionalisasi subsidi," kata BNM.
Sehubungan ini, mekanisme pemindahan tunai dilihat sebagai langkah pertama yang kritikal terhadap pembaharuan yang lebih mendalam dalam sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara.
Oleh itu, BNM mengemukakan cadangannya kepada Kerajaan untuk membantu golongan yang mudah terjejas.
Ditanya mengenai kajian yang dilakukan sebelum pengenalan BR1M pada tahun 2012, BNM berkata ia melakukan penyelidikan mengenai mekanisme subsidi yang ada pada masa itu dan juga jaring keselamatan sosial di negara lain.
"Ianya didapati bahawa subsidi yang luas dan kawalan harga telah mencipta ketidakcekapan dan keadaan tidak fleksibel yang mendalam yang menghalang ekonomi dari melaraskan dengan realiti global dan domestik," kata bank pusat itu.
Ia juga didapati bahawa mekanisme subsidi dan harga kawalan yang seida ada telah menanggung kos fiskal yang besar, dan ia boleh menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan dalam jangka panjang.
"Sama pentingnya, rejim subsidi yang sedia ada adalah regresif kerana mekanisme itu mensubsidi orang kaya secara tidak seimbang, lebih daripada orang miskin.
"Kos subsidi menyeluruh kepada ekonomi adalah sangat besar.
"Memandangkan keadaan ini, BR1M diperkenalkan untuk memberi bantuan langsung kepada kumpulan tersasar yang mudah terjejas dengan cara yang lebih berkesan dan cekap kos," katanya.
Subsidi tersasar adalah satu bentuk pemindahan langsung dari Kerajaan kepada kumpulan yang mudah terjejas untuk meringankan beban kewangan mereka.
Dalam rejim subsidi menyeluruh sebelumnya, setiap segmen masyarakat, tanpa mengira latar belakang kewangan mereka, berhak mendapat subsidi yang sama.
"Oleh itu, ia adalah sistem yang tidak seimbang," katanya.
Satu contoh subsidi menyeluruh adalah subsidi bahan bakar yang kemudiannya digantikan oleh sistem apungan terurus pada tahun 2014.
Satu kajian berdasarkan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2009/2010 menunjukkan bahawa 20 peratus isi rumah terkaya menerima 42 peratus subsidi.
Sebaliknya, 20 peratus isi rumah yang paling miskin menerima hanya empat peratus daripada subsidi minyak.
"Ini disebabkan oleh isi rumah yang kaya yang memiliki lebih banyak kereta dan kereta yang lebih besar, dan oleh itu memakan jumlah bahan api yang lebih banyak.
"Oleh itu, sistem subsidi menyeluruh adalah alat yang kurang berkesan dalam memastikan manfaat harga bahan api rendah meluas dan inklusif.
"Ini memerlukan langkah yang lebih tersasar untuk menggantikan sistem subsidi menyeluruh," kata bank pusat itu. - BERNAMA