Membetulkan Kenyataan Mahathir: 'Anak Harimau, bukan Harimau Asia'

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, tanpa GST, Malaysia masih mampu menjadi Harimau Asia.

Untuk memperbetulkan Dr Mahathir, kita tak pernah menjadi salah satu daripada empat negara Harimau Asia iaitu Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Bagaimanapun, Malaysia pernah dikenali sebagai salah sebuah negara Ekonomi Anak Harimau yang turut mencakupi Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Sebahagian besar Malaysia mengalami pertumbuhan deras pada 1990-an disebabkan Perjanjian Plaza apabila negara barat menandatanganinya dengan Jepun pada 22 September 1985 di Hotel Plaza di bandaraya New York, yang menyaksikan nilai mata wang Jepun terpaksa dinaikkan ekoran pengeksportan Jepun adalah berlandaskan kepada nilai mata wang rendah memberi kesan kepada negara barat.

Hanya bagi tempoh beberapa tahun, mata wang Yen meningkat tinggi dan sekali ganda berbanding Dolar Amerika serta mata wang lain.

Peningkatan tinggi Yen, Dolar Taiwan ketika itu dan Won Korea Selatan menyebabkan perpindahan industri di ketiga-tiga negara itu ke China dan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Gelombang pelaburan terus asing ini mencetuskan pertumbuhan yang rancak selama sedekad dan hanya terhenti ketika krisis kewangan Asia Timur yang meletus pada Julai 1997.

Tanpa Perjanjian Plaza itu, Dr Mahathir tidak akan mendapat pertumbuhan kukuh pada awal 90-an.

Sebab itu negara di sekeliling Malaysia turut mengalami pertumbuhan pada kadar yang sama (rujuk foto di atas) ketika tempoh di mana Mahathir menggelarnya sebagai ‘era emas’.

Ia tidak unik kepadanya mahupun kepada Malaysia kerana Jepun yang mengalami peningkatan nilai mata wang terpaksa memindahkan kilang mereka ke tempat lain bagi mendapatkan kos pengeluaran lebih rendah.

Sumber dana lain

Tanpa bersikap tidak bersyukur seperti Dr Mahathir di mana beliau turut memainkan peranannya dan negara ini beruntung kerana turut menerima manfaat ketika itu, namun beliau tak sepatutnya mengaku 100 peratus ia adalah usahanya.

Bagaimanapun, Malaysia ketika pentadbiran Dr Mahathir tidak memerlukan GST ketika itu kerana mempunyai sumber dana lain, di mana kebanyakannya tidak lagi wujud untuk kita.

Salah satunya, Dr Mahathir meminjam secara giat dan pantas sehingga hutang kita berbanding nisbah KDNK mencapai 103 peratus pada 1986. Nisbah ini kekal melepasi 60 peratus selama 10 tahun. Bandingkan ini dengan nisbah 50.7 peratus ketika ini.

Berbanding sekarang, Malaysia pada masa itu juga mengenakan cukai korporat dan individu yang tinggi iaitu melebih 30 peratus.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengurangkan cukai ini dari 28 peratus kepada 24 peratus dan turut membuat perubahan kepada sistem percukaian individu di mana individu yang memperoleh pendapatan bulanan di bawah RM4,000 tidak perlu lagi membayar cukai.

Di sebalik cukai jualan antara 10 hingga 20 peratus serta cukai perkhidmatan 6 peratus, Dr Mahathir turut mengenakan cukai jualan 19.64 sen bagi setiap liter diesel dan 58.62 sen bagi setiap liter petrol hampir sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Benar, Dr Mahathir tidak pernah menyalurkan subsidi untuk petrol sebaliknya mengenakan cukai kerana harga minyak ketika itu antara US$10 hingga US$20 setong, berbanding US$60 bagi setiap tong.

Cukai 58.62 bagi setiap liter petrol ini dimansuhkan pada 2004.

Tiada BR1M di zaman Dr M

Dr Mahathir juga tidak pernah menyalurkan subsidi bagi beras, minyak kelapa sawit atau gula pasir ketika era pentadbirannya kerana harga global bagi komoditi ini ketika itu adalah rendah.

Saya pelawa anda untuk memeriksa rentetan harga global komoditi berkenaan ketika era Dr Mahathir.

Penswastaan pula adalah nama lain bagi menjual saham dalam aset Kerajaan bagi mendapatkan wang untuk kerajaan.

Dr Mahathir banyak melakukan ini. Antaranya, beliau menjual pemilikan besar Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, bursa saham, kebanyakan pelabuhan seperti Pelabuhan Klang, Kuantan dan beberapa bank, kesemua lapangan terbang, syarikat penerbangan, jambatan Pulau Pinang, khidmat Pos malah Lembaga Padi juga, dijualnya.

Dr Mahathir juga kerap menjarah wang Petronas bagi membina projeknya seperti KLCC untuk manfaatkan ahli keluarga sebagaimana didakwa pembangkang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebab itu, baki wang Petronas adalah hanya antara RM20 bilion hingga RM30 bilion ketika eranya tetapi hari ini ia adalah RM128.2 bilion setakat hujung 2017. Sebagai perbandingan, Najib menunjukkan lebih hormat kepada Petronas dan membiarkan Petronas memiliki lebih banyak wang untuk memperkembangkan perniagaan mereka.

Dan di sebalik kesemua ini, Dr Mahathir juga tidak melaksanakan sistem pengagihan tunai seperti BR1M.

Kroninya menerima manfaat yang besar dalam ekonomi dan aset kerajaan tetapi rakyat tidak dibayar apa-apa pun sebagaimana BR1M.

Dan bagi menjawab kisah kononnya Dr Mahathir selamatkan Malaysia pada 1998, saya ingin bertanya, siapakah perdana menteri ketika itu yang menyebabkan negara ini terjerumus ke kedudukan itu yang memerlukan Dr Mahathir menyelamatkan Malaysia?



ERIC SEE-TO

------------
Rujukan: