Datuk Seri Abdul Azeez Rahim membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak tertentu yang menuduhnya dirinya terbabit dengan projek terowong dasar laut dan lebuh raya Pulau Pinang.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menerima notis tuntutan daripada peguam kepada syarikat kontraktor Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd selepas didakwa menerima RM3 juta untuk khidmat rundingan tertentu yang tidak diberikan.
Pada Jumaat, Azeez membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam serta menuntut syarikat itu memohon maaf dalam tempoh empat hari serta menarik balik tuntutan.
Bagaimanapun, pada hari ini di Hotel Tabung Haji di Pulau Pinang, beliau dilaporkan bersedia menyaman pihak terbabit bagi membersihkan namanya.
Sejak menerima surat tuntutan itu, beberapa pemimpin pembangkang seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy mempersoalkan berkenaan tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Azeez.
“Ramai pemimpin pembangkang mengeluarkan tuduhan kepada saya serta Tabung Haji dan UMNO yang tiada kena mengena dengan perkara ini tetapi institusi ini turut diheret dalam serangan ke atas saya.
“Ini adalah pembunuhan karakter, seperti dikata peguam saya. Kita sangat hampir dengan pilihan raya umum sekarang, sudah tentu akan ada lebih banyak serangan kepada saya dan UMNO,” katanya.
“Oleh itu, Saya sudah bercakap dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang,” kata Pengerusi Tabung Haji itu.
Sementara itu, beliau turut menunjukkan surat penarikan notis tuntutan terhadapnya yang diterima peguamnya, Messrs Jahaberdeen and Co pada 3 Mac daripada firma guaman Zenith, Syahrul & Hamidi.
Katanya, berdasarkan surat berkenaan, firma itu sudah memohon maaf kerana kesilapan itu, mengakui yang ahli perniagaan itu menggunakan namanya sehingga menyebabkan pemaju percaya bahawa ahli perniagan itu mewakili Azeez untuk berurusan dengan mereka.
Minggu lalu, SPRM dilaporkan menahan dua ahli perniagaan yang didakwa dibayar suapan sebanyak RM19 juta oleh Zenith bagi menutup siasatan serta menerima RM3 juta sebagai upah menghentikan siasatan.