Dituduh malas, kaum Dusun mahu Mahathir mohon maaf

----------------------
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno mahu beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Sabah.
----------------------

Tuduhan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengatakan rakyat Sabah golongan malas mengecewakan rata-rata pemimpin kaum Dusun di pedalaman Sabah.

“Beliau (Dr Mahathir) mengguris perasaan rakyat Sabah… kami benar-benar tidak dapat menerimanya.

“Kami mahu beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Sabah,” gesa Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno hari ini.

Sairin yang merupakan antara pemimpin terawal mengasaskan parti Umno di Sabah berkata, Dr Mahathir seharusnya sedar bahawa rakyat Sabah di kawasan pedalaman tidak mendapat banyak pembangunan selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri.

Setiausaha Agung Persatuan Dusun Peribumi Sabah Rosanna Edeza pula berkata jika Dr Mahathir benar-benar mengakui rakyat Sabah golongan malas, puncanya beliau sendiri mengabaikan rakyat Sabah sepanjang tempoh memerintah.

“Anda (Dr Mahathir) melalaikan kami dengan falsafah yang mengasyikkan…anda memberikan kami ikan secara paksa tanpa memberikan kami pancing selama berkuasa 22 tahun,” katanya.

Seorang lagi pemimpin kaum Dusun, Rahman Maidin dari Tambunan berkata, rakyat Sabah tidak mendapat pembangunan seimbang sepanjang tempoh Dr Mahathir memerintah, sebaliknya mencipta keterusan politik dengan tidak melakukan apa-apa mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

“Dr Mahathir lebih fokus untuk keterusan politik berbanding memikirkan sesuatu yang boleh menjadikan rakyat Sabah rajin,” katanya.

Menurutnya, jika beginilah sikap bekas perdana menteri itu, Dr Mahathir sama sekali tidak layak memimpin negara ini, apatah lagi menjadi perdana menteri.

Rahman mengajak rakyat bersatu menolak pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang perlakuan pemimpinnya disifatkannya boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Ketua Wanita Umno Keningau yang merupakan seorang pemimpin Dusun di Tambunan, Amelia Ajun turut menyelar kenyataan Dr Mahathir yang disifatkannya bercanggah dengan statusnya sebagai negarawan.

“Pandangannya membuktikan sepanjang tempoh beliau memerintah, tidak pernah mengenali rakyat Sabah,” tambahnya.



#Fitnah
#PakatanHipokrit
#TunM93Tahun