#MalaysiaMemilih
Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan di mana Yang DiPertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara Malaysia. Biarpun sesebuah parti itu melintasi 112 kerusi parlimen, parti itu bukanlah secara mutlaknya menguasai negara ini. Masih ada Raja.
Perkara ini menjadi duri dalam daging bagi mereka yang tidak pernah puas dengan kuasa. Berbagai usaha licik dilakukan golongan ini sejak beberapa penggal yang lalu untuk menghakis kuasa Raja-Raja Melayu.
Tidak menghairankan bila ada seorang Ustaz yang lantang kecam Raja Raja Melayu diangkat jadi Pegawai Penerangan oleh parti itu suatu ketika dahulu. Entah entah sekarang sudah ikut pindah ke pejabat baru.
Apakah sudah ada usaha hendak menukar kerajaan kepada sistem republik?. Menukar sistem republik seperti di Perancis, Korea Selatan, India dan Filifina yang mana presiden memegang dua jawatan iaitu sebagai ketua kerajaan dan ketua negara.
Semasa PRU12, Barisan Nasional hilang kuasa 2/3 majoriti di parlimen, kemudian PRU13 sama juga, tiada kuasa 2/3 majoriti dalam Dewan Rakyat. Lebih buruk lagi dalam PRU14, BN terus hilang kuasa "simple majority" parlimen.
Kerajaan PH ketika berkempen masa PRU14 memujuk pengundi bahawa kedudukan orang Melayu, agama Islam dan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas kerana masih ada Raja Raja Melayu yang menaungi pemerintahan negara ini.
Namun bila dapat sahaja kuasa "simple majority" terus nada itu berubah. Sudah ada suara dari panglima media mereka mencabar institusi raja. Sudah ada desakan mansuh JAKIM, cabar kedudukan UiTM dan tanah tanah Felda. Malah lebih teruk lagi bila jawatan Peguam Negara yang selama ini disandang oleh orang Islam diberikan kepada Tommy Thomas.
Terbaru, satu kertas terperinci mengenai perbelanjaan YDPA Sultan Muhammad V disebarkan secara tidak bertanggungjawab dalam media sosial. Apakah pihak yang menyebarkan itu ada niat hendak membalas dendam dan memalukan YDPA apabila baginda pada mulanya menolak pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara?
Kertas terperinci tersebut hanya boleh diperolehi dari fail merah Kementerian Kewangan. Siapa lagi yang ada akses di MOF? Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan berkenaan perkara ini. Penyebaran kertas perbelanjaan YDPA itu adalah satu kesalahan serius.
Sebelum ini, A Kadir Jasin dilihat turut mengapi apikan rakyat apabila mendakwa sebanyak RM257 juta dibelanjakan untuk perbelanjaan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak beliau menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Menulis di blog peribadinya, A Kadir Jasin berkata jumlah itu, purata RM16 juta sebulan, telah dibelanjakan untuk penginapan Agong, kediaman, barangan peribadi , pesawat terbang, pengangkutan, pakaian, hadiah dan cenderahati, lawatan ke luar negara dan gaji pegawai istana, antara lain.
Kertas yang tersebar itu sama dengan isi yang A Kadir Jasin tulis. Tidak perlu pertikai kelayakan YDPA sebagai ketua negara. Kerajaan PH yang sedia ada perlu fokus kepada melaksana janji dan berkhidmat pada rakyat. Bukan terus bermain persepsi setiap hari.
Raja Raja Melayu adalah harapan terakhir orang Melayu. Bila tembok sudah runtuh, ke kamar raja pun mereka hendak celapak dan terpa. Negara ini masih lagi mengamalkan sistem demokrasi raja berperlembagaan bukan sistem anarki, diktator atau republik.
Hormatilah institusi Raja Raja Melayu. British pun tahu hormat pada Raja Melayu pada zaman dahulu, Jepun pun sama.
Jagalah keharmonian negara ini. Dalam bulam puasa sebegini, rakyat sedang sibuk beramal.
Kenapa ada satu pihak lagi sibuk sangat menyebarkan cerita dan nista pada raja? Mereka hendak apa lagi? Laksanalah janji yang dibuat dulu, daripada sibuk mencabar itu dan ini.
Hormatlah institusi Raja Melayu. Daulat Tuanku !!!
Nukilan :
Dr Hanapi Hamdi