Jujur aku mengaku masa Najib umumkan BR1M mula-mula dulu, aku antara yang membantah. Masa tu aku ni bodoh. Beriman totok lagi taksub dengan kata-kata novelis era alaf ke-19, Anna Isabelle; "give a man a fish and you feed him for a day; teach a man to fish and you feed him for a lifetime."
Dan aku pegang pembantahan terhadap BR1M ni sehinggalah aku baca buku Scarcity, tulisan seorang professor ekonomi di Universiti Harvard, Sendhil Mullainathan.
Ramai antara kita tak sedar bahawa orang miskin ni sebenarnya kena cukai yang sangat tinggi bila membuat satu-satu keputusan. Ia dipanggil sebagai "decision tax".
Cukai ni bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan. Tapi terma ini hanya sekadar metafora menunjukkan betapa orang miskin dibebani untuk membuat keputusan yang lebih sukar berbanding orang yang berduit.
Tak faham?
Ok. Bayangkan senario ni. Ada dua orang mamat, A dan Z. Mereka ni ternampak kasut berharga RM100. A ni dari golongan berduit, katakan gajinya RM5000. Z ni pula golongan bawahan, dengan tiada amaun pendapatan yang secara tetap.
Kedua-dua mamat ni tak pernah ada kasut tu. Tapi dalam masa sama dah lama mengidam nak dapatkan kasut tu. Dek kerana tak dapat tahan diri, masing-masing pun beli.
Sampai rumah, dua-dua rasa menyesal sebab ambil keputusan untuk beli. Walaupun kedua-dua berkongsi perasaan sama, yang menerima kesan lebih tinggi dari "bad decision" adalah Z, berbanding A. Mulalah Z terfikir macam mana nak "squeeze" dari duit baki yang ada. Berbanding A yang masih ada ruang dari segi kewangan selepas melakukan satu kesilapan.
Senario inilah dinamakan sebagai "decision tax". Sebabnya, orang miskin mempunyai "margin of error" yang sangat-sangat kecil dalam membuat satu-satu keputusan berkaitan duit.
Realiti sebegini menafikan tanggapan klise ramai antara kita bahawa orang miskin jadi miskin adalah disebabkan selalu buat keputusan salah. Hakikatnya orang miskin selalu buat keputusan salah sebab mereka miskin.
Pening?
Cuba kau bayangkan perwatakan kau semasa di bulan puasa. Pukul 6 petang, berjalan di bazaar Ramadhan. Masa dalam keadaan perut kosong tu kau akan sauk saja apa jenis makanan yang ada dijual. Lepas tak habis makanan semasa berbuka, baru kau sedar yang kau dah buat keputusan silap dalam membeli makanan, dengan hanya mengikut nafsu.
Macam tulah keadaan orang miskin. Mereka membuat keputusan dalam keadaan hidup paling kekurangan, atau istilah ekonominya "scarcity". Sebab itulah ada satu kajian yang dilakukan terhadap penanam tebu di India. IQ mereka sebelum musim menuai jatuh jauh lebih rendah berbanding sejurus selepas musim menuai.
Dek kerana itu, ada ahli ekonomi menyarankan pemberian bantuan secara tunai kepada golongan ini. Kalau dalam konteks Malaysia adalah BR1M.
Duit ini bukanlah tongkat seperti yang selalu kita canangkan. Jauh sekali untuk memanjakan golongan sebegini. Ia boleh berfungsi sebagai "safety net" bagi golongan ni. Maksudnya, kalau mereka salah dalam membuat keputusan, tak adalah jatuh tersembam terus ke atas tanah. Masih ada jaring keselamatan yang mengurangkan impak kejatuhan mereka. Lagipun, BR1M ni juga mampu merancakkan aktiviti ekonomi. Kau tengok sajalah bila mana BR1M dibayar, berebut peniaga nak promosikan barang.
Jadinya, aku kurang bersetuju bila ada cadangan BR1M dimansuhkan. Ya, aku tak nafikan ada kepincangan dalam pengagihan BR1M, sehingga bocor kepada golongan yang tak sepatutnya. Tapi itu bukanlah mewajarkan BR1M dihapuskan secara total.
Pada aku, perbaikilah mana-mana proses yang berlubang. Yalah kalau atap rumah bocor, takkan kau nak roboh satu rumah terus.
Oh ya, mungkin ada yang mempertikaikan cara perbelanjaan BR1M oleh para penerimanya. Tapi kau perlu ingat BR1M adalah salah satu juga bentuk subsidi. Dan kau sendiri pun belum tentu berbelanja subsidi (bukan BR1M) pada arah yang munasabah.
Ya, kau mungkin tak menerima subsidi bentuk BR1M sebegini, tapi kau juga mungkin menerima subsidi dalam bentuk lain. Paling mudah subsidi petrol. Kau ada kereta import, tapi sibuk berjalan jauh ke sana ke mari hujung minggu. Tujuan semata nak makan ayam salai dekat Kuala Pilah, atau nak makan asam pedas di Melaka.
Apakah kau rasa cara kau membelanjakan duit rakyat melalui subsidi petrol begitu adalah satu munasabah juga?
Mohd Norhafiz
...............
http://pakdin.my/tag/br1m