Kalau Mahathir kembali menjadi PM…


Kalau Mahathir Mohamad sekali lagi diberi peluang menjadi Perdana Menteri, apakah yang akan dibaikinya?
Persoalan ini timbul selepas media melaporkan Mahathir berjanji untuk mengembalikan royalti minyak kepada Kelantan sekiranya beliau, yang kini bersama pembangkang yang rata-rata terdiri daripada musuh politik beliau ketika beliau adalah PM, dapat mengalahkan Umno-BN yang diterajui anak muridnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Walaupun umum mengetahui kenyataan tersebut sekadar janji politik yang sukar dipercayai buat masa ini, namun di sebaliknya mungkin mengisarkan suatu jenis kekesalan akan tindakannya terhadap Kelantan ketika menjadi PM.
Selain royalti minyak dan tersilap pilih Tun Abdullah Badawi dan Najib sebagai PM, apa lagi kekesalan yang Mahathir rasai sehingga hari ini, terutamanya apabila melihat negara yang dibinanya selama 22 tahun semakin ketinggalan daripada Wawasan 2020 yang diimpikan olehnya buat negara?
Setelah menyertai pembangkang, apakah kini Mahathir terasa bangga atau sedih dengan sistem pilihan raya dan persempadanan yang dibuat ketika zaman beliau yang menyebabkan Umno-BN susah ditumbangkan?
Memahami kesukaran pembangkang mendapat liputan yang adil, apakah Mahathir kini terasa bangga dan sedih dengan kuasa yang dikurniakan kepada kerajaan dalam mengawal media tradisional di Malaysia?
Bagaimana pula dengan Umno? Apakah Mahathir kini bangga atau sedih dengan budaya dan sistem yang ditinggalkannya di dalam Umno, di mana anak muridnya Najib dapat ‘meningkatkan’ mutu budaya dan sistem tersebut sehinggakan isu sebesar 1MDB tidak mampu menghasilkan sedikit riak pun di dalam Umno? Bahkan mereka yang mempersoalkannya semua sudah menjadi pembangkang.
Apa pula pandangan Mahathir terhadap kuasa Majlis Raja-Raja? Apakah Tun bangga atau sedih dengan kuasa yang ada pada Majlis Raja-Raja, melihat nasib yang menimpa Deklarasi Rakyat yang tidak kebunyian lagi selepas pertemuan Tun dengan Yang di-Pertuan Agong?
Selaku Ketua Umum Pembangkang yang tidak rasmi, sudah pasti Mahathir dapat merasai dengan jelas masalah sebenar negara yang telah dibutai beliau selama ini ketika beliau di seberang sana dan sibuk memastikan Umno terus hidup berkuasa.
Kini, Mahathir boleh menebus kekesalan yang wujud di hati sekiranya ada.
Mahathir boleh mengambil inisiatif bagi memperincikan manifesto beliau buat pilihan raya umum ke-14 – bermula dengan cadangan pembaikan sistem pilihan raya, cara membebaskan media daripada cengkaman kerajaan, pemulangan royalti minyak kepada Kelantan, nasib Umno dan BN (apakah beliau akan kembali ke Umno dan menghidupkannya semula), had tempoh seseorang menjadi PM, pelan meningkatkan pendapatan negara, kedudukan GST, pelan menyama-ratakan padang demokrasi untuk pembangkang dan sebagainya yang menjadi kekesalan beliau hari ini.
Sekiranya manifesto itu menarik, silap-silap Mahathir akan ditawarkan untuk menjadi PM interim selama setahun sebelum menyerahkan kuasa kepada PM baru yang dipilih oleh pembangkang yang menang. Ini tidak mustahil kerana sehingga kini tiada lagi calon sesuai yang diterima semua pihak dan layak daripada segi undang-undang dalam kalangan pembangkang yang boleh diangkat.
Percayalah Mahathir adalah pilihan yang lebih baik sebagai calon PM pembangkang berbanding cadangan pilihan Mahathir sendiri iaitu Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin – dan ramai dalam kalangan pembangkang yang akan bersetuju secara diam-diam, melainkan mereka sekadar mengganggap Mahathir sebagai kuda tunggangan yang bernilai buat masa ini untuk menumbangkan Umno dan Najib.
Timmy Say adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.