[Video] Pengasas PRIBUMI Kamarulazman Habibur Rahman Umum Keluar Parti




Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PRIBUMI) Kamarulazman Habibur Rahman hari ini mengumumkan keluar parti.

Kamarulazman yang juga ahli majlis pemimpin tertinggi PRIBUMI turut mengumumkan peletakan semua jawatan yang disandangnya.

"Hari ini saya ingin umumkan peletakan jawatan saya sebagai ketua penaja bahagian PRIBUMI Teluk Kemang.

"Saya juga menolak tawaran sebagai pengerusi perhubungan PRIBUMI Negeri Sembilan dan saya letak jawatan saya sebagai setiausaha kerja PRIBUMI pusat.

"Saya juga letak jawatan sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi PRIBUMI. Dan akhir sekali saya undur diri dari jadi ahli PRIBUMI," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.

Menjelaskan keputusannya pada hari ini, Kamarulazman berkata, beliau kecewa dengan hala tuju parti yang dilihat terpesong serta masalah dalaman yang melanda.

"Nak kata saya kecewa sebab tak dapat jawatan, saya ada banyak jawatan.

“Tetapi saya hanya kecewa apa yang kita perjuang dan asaskan dari awal telah dirosakkan oleh beberapa individu dalam parti yang hanya mahu jaga kedudukan dalam parti dan bukan nak menang pilihan raya.

"Ketika diasaskan, ia bukan begitu. Sebab perjuangan dari awal adalah untuk tentukan Malaysia dalam landasan yang membawa ke arah kecemerlangan," katanya.

Amal kronisme, 'kasta'

Bercakap tentang masalah dalaman, tanpa membuat penjelasan terperinci, Kamarulazman berpendapat PRIBUMI kini mengamalkan kronisme dan 'kasta'.

Malah, katanya, individu yang selama ini menjadi penggerak awal dalam parti dan berhabis tenaga serta wang ringgit diketepikan.

"Sedikit demi sedikit, elemen negatif mula menyerap masuk dalam PRIBUMI. Ramai ahli mempersoalkan orang yang buat onar dalam Umno lompat masuk PRIBUMI.

"Saya dapati sifat buruk mula dibenarkan masuk melalui pintu utama PRIBUMI.

"Saya mula sedar dalam PRIBUMI seperti ada perbezaan darjat dan kasta. Seseorang ahli akan tinggi darjatnya sekiranya dia merupakan kenalan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung.

"Saya sangat kecewa, golongan yang benar buat kerja dilayan seperti kelas kedua. Belum pun kita bergerak jauh, kita telah mengamalkan sikap pilih kasih dan kronisme yang mendalam," katanya lagi.

Hidupkan semula GKCM

Sehubungan itu, Kamarulazman berkata beliau kini akan kembali fokus menghidupkan kembali Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) dan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan tentang isu semasa.

"Paling penting nak nyatakan di sini ialah kami akan mula hidupkan GKCM semula dan melipat gandakan pengaruh GKCM," ujarnya.

Sebelum PRUBUMI ditubuhkan, GKCM yang disertai anggota akar umbi Umno banyak terlibat menyemak dan menilai secara lantang pendekatan dan masalah kepimpinan parti itu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang sebagai parti bebas, Kamarulazman hanya berkata:

"Tidak buat masa sekarang."

Ditanya sama ada pengikutnya akan turut serta keluar parti, bekas ketua Umno cawangan Teluk Kemang itu memberitahu, satu sidang media lain akan dilakukan bagi mengumumkan anggota PRIBUMI di Negeri Sembilan keluar parti.

"Kita akan buat sidang media lain. Di Teluk Kemang ada beberapa ratus yang akan ikut nak keluar parti.

"Setakat malam tadi, 821 orang merancang akan keluar parti. Ia dari seluruh negara tetapi kebanyakannya dari Negeri Sembilan," katanya lagi.