Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinannya, selepas berbulan-bulan lamanya mengadakan rundingan dan perbincangan antara parti-parti komponen pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara kerana kes liwat dinamakan sebagai ketua umum pakatan itu, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusinya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi presiden.
Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun mengumumkan barisan itu pada sidang media selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Khamis malam.
Sidang media hanya berlangsung selepas tengah malam, tiga jam lewat daripada waktu yang dijadualkan.
Anwar merupakan timbalan perdana menteri di bawah Dr Mahathir, tetapi kemudiannya dipecat pada 1998.
Pada masa ini, Anwar merupakan penasihat PKR manakala Dr Mahathir adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Dr Wan Azizah sebagai presiden PKR.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dinamakan sebagai timbalan presiden bagi pakatan itu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali; Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jien dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dinamakan sebagai naib presiden pakatan.
Datuk Saifuddin Abdullah dinamakan sebagai setiausaha agung manakala M. Kula Segaran menjadi bendahari.
Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, PPBM, Amanah dan DAP turut melancarkan logo baharu pada sidang media berkenaan.
Menurut Dr Mahathir, Pakatan Harapan akan memuktamadkan butiran lain dalam perlembagaannya sebelum menyerahkan pendaftaran dan logo kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam tempoh seminggu.