PMO MALAYSIA :-
18 JULAI 2017
KENYATAAN MEDIA
PENUBUHAN SURUHANJAYA SIASATAN UNTUK MENYIASAT KES KERUGIAN AKIBAT URUS NIAGA MATA WANG ASING OLEH BANK NEGARA MALAYSIA SEKITAR TAHUN 1990-AN
Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an, di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), berkuat kuasa mulai 15 Julai 2017.
2.Selaras dengan peruntukan Akta 119, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan perkara-perkara berikut:-
(A) Keanggotaan:
(i) YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Hassan, Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) (Pengerusi);
(ii) YA Datuk Wira Kamaludin Bin Md Said, Hakim Mahkamah Tinggi (Ahli);
(iii) YBhg. Datuk Seri Tajuddin Bin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Berhad (Ahli);
(iiii) YBhg. Tan Sri Saw Choo Boon, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Ahli);
(v) Encik Pushpanathan A/L S.A Kanagarayar, Ahli Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young (Ahli); dan
(vi) YBhg. Dato’ Dr. Yusof Bin Ismail, Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan sebagai Setiausaha.
(B) Bidang tugas Suruhanjaya:
(i) Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara;
(ii) Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958atau mana-mana undang-undang yang berkaitan;
(iii) Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan (misleading) Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat;
(iiii) Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan / atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan
(v) Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.
3. Suruhanjaya ini akan menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan mulai kuat kuasa penubuhannya dan akan menyembahkan laporannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
4. Pelantikan YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Bin Hassan sebagai Pengerusi dan YBhg. Tan Sri Saw Choo Boon sebagai Ahli Suruhanjaya ini adalah bagi mewujudkan kesinambungan memandangkan mereka telah menganggotai Pasukan Petugas Khas mengenai perkara yang sama sebelum ini. Keanggotaan Ahli-ahli yang lain adalah mengambil kira kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang yang berkait rapat dengan siasatan yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya.
18 Julai 2017
1) PMO FACEBOOK
https://www.facebook.com/PMOMalaysia/posts/1814471071902197
2) PMO TWITTER
https://twitter.com/pmomalaysia/status/887243452966092800