Berikut adalah jawapan saya terhadap beberapa kekeliruan yang sengaja atau tidak sengaja yang dicetuskan oleh Ajk Pas Pusat melalui artikel yang ditularkannya bertajuk "RUU 164 : TRAGEDI MALANG BUAT UMAT ISLAM DI NEGARA INI"
ISU PERTAMA
"6. PAS ada sebab yang kukuh untuk menentangnya, dan bukan bangkit menentang secara semberono atau untuk meraih kepentingan politik demi populariti semata-mata. RUU 164 ini perlu ditarik balik dengan alasan yang sangat jelas dan kuat, iaitu ianya bercanggah dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan."
*JAWAPAN BALAS*
Pindaan yang dinyatakan dalam RUU 164 tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana hal ehwal orang Islam dan undang-undang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan itu sendiri. Isu utama di bawah Akta 164 melibatkan perkahwinan bukan Islam yang melibatkan suami isteri yang bukan Islam. Jelasnya jika pindaan ini tidak dibuat, pasangan yang telah memeluk Islam akan teraniaya kerana dia tidak boleh memohon untuk membubar perkahwinan bukan Islamnya kerana Seksyen 51 yang lama hanya membenarkan permohonan bagi pasangan yang tidak memeluk Islam. Manakala pasangan yang telah memeluk Islam pula tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana enakmen tiada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pembubaran perkahwinan bukan Islam atau hadanah anak dari perkahwinan bukan Islam. Pindaan 121(1A) jelas memisahkan bidang kuasa kedua Mahkamah Sivil dan Syariah.
ISU KEDUA
"7. Apa yang dibimbangkan adalah, RUU 164 membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini. Antara bahaya yang bakal menjelma hasil dari RUU 164 ini adalah seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam. Selain itu, RUU 164 ini memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Sebaliknya, orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang."
*JAWAPAN BALAS :*
YB PAS mungkin kurang faham Akta 164. Kenyataan tersebut jelas menyimpang dengan maksud Akta 164. Akta ini hanya terpakai kepada orang bukan Islam (yang telah berkahwin di bawah Akta 164). Isu timbul bila salah seorang pasangan memeluk Islam yang mana Akta ini tidak boleh digunapakai untuk mereka yang beragama Islam. Implikasinya adalah perkahwinannya terdahulu tergantung atau "limping marriages". Namun pindaan ini menyelesaikan isu ini. Pasangan yang telah masuk Islam boleh memohon cerai di bawah Akta ini kerana sudah wujud bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadapnya. Uniknya tanggungjawab sebelum dia memeluk Islam tidak berubah dengan pengislamannya. Malah dia masih wajib menyara anak-anak bukan Islamnya. Perkahwinan bukan Islam adalah merupakan kontrak dan pertukaran agama tidak melupuskan tanggungjawab kontraknya. Keunikan ini menzahirkan lagi prinsip keadilan dalam Islam.
ISU KETIGA
"8. Antara lain, hak umat Islam yang terlucut hasil dari RUU 164 ini ialah seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak. Bahkan orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya."
*JAWAPAN BALAS:*
Memeluk Islam tidak melupuskan tanggungjawab sebelum menjadi Islam.
Pindaan yang dibuat terhadap Akta 164 ini hakikatnya memberi ruang kepada pihak yang telah memeluk Islam untuk menuntut hadanah, harta dan nafkah hasil dari perkahwinan dengan bukan Islam. Sebelum pindaan mualaf tidak boleh buat apa-apa dan ternafi haknya hanya kerana telah memeluk Islam.
ISU KEEMPAT
"9. Dengan meluluskan Akta RUU 164, bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini. Selepas ini, satu demi satu hak umat Islam terlucut, ditarik, ditukar dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad, menukar agama, dan mengikis hak terutama penjagaan hak terhadap anak-anak."
*JAWAPAN BALAS :*
Akta 164 tiada kena mengena dengan isu status agama anak. Ia hanya memberi jalan keluar kepada Mualaf untuk meneruskan kehidupannya di masa akan datang jika pasangan bukan Islam tidak mahu memeluk Islam.
ISU KELIMA
"10. Semoga tragedi di Parlimen pada 9 Ogos 2017 membuka mata rakyat bahawa kerajaan pimpinan UMNO-BN tidak boleh diharap untuk membela agama Islam. Selama mereka memerintah, selama itulah umat Islam akan terus tergadai dan terabai. Di sisi yang lain, kelihatan jelas parti-parti pembangkang bukan pembela Islam sejati, sebaliknya hanya menjadikan Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja. Ketika sempit, Islam dijulang dan ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan kalau mereka memerintah kelak, apa akan jadi kepada nasib umat Islam di negara ini?"
*JAWAPAN BALAS*
Tiada tragedi yang berlaku malah satu kebaikan atau hikmah dan sinar baru kepada sistem keadilan Islam di negara ini. Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, arkitek Sistem Perundangan Syariah Negara telah mengusulkan pindaan ini sejak 1986 lagi dan Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan ini kepada barisan kepimpinan BARISAN NASIONAL untuk meminda Akta 164 kelmarin. Islam akan lebih dihormati kerana orang Islam tidak menganiaya sesiapa malah mengembalikan hak kepada yang berhak. Ia juga memberikan isyarat kepada semua agar tidak menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Yang paling utama juga membawa mesej penting bahawa memeluk Islam Islam tidak sesekali memutuskan hubungan ayah /ibu dengan anak masing-masing .
Semoga sirna di Parlimen pada 9 Ogos 2017 terus menyinarkan cahaya Islam di bumi Malaysia di bawah kepimpinan Kerajaan yang sedia ada untuk terus istiqomah dalam memartabatkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan mewajahkan Islam yang sebenar berteraskan prinsip Keadilan dan Rahmat kepada seluruh Alam.
Oleh: PROF. DATO' DR NOOR AZIAH AWAL
Prof. Dato' Dr Noor Aziah Awal ialah Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)