Mengapa mereka gerakkan kempen #UndiRosakSatu sahaja. Kerana HARAPAN menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Tidak perlu berhujah tentang realpolitik, agenda masa depan, reformasi total dan segala teori ataupun memetik sirah dan nas, jawapan mereka cuma satu; tolak bapa segala kemusnahan negara selama ini!
Kebanyakan 'keyboard warrior' ini amat dikenali oleh pemimpin HARAPAN itu sendiri. Mereka ini terdiri daripada aktivis, ahli parti politik, bekas ahli parti, penulis blog yang pernah bersama-sama berkempen sama ada menulis, melukis, mahupun menjalankan siri ceramah bersama Pakatan Rakyat menjelajah ke seluruh pelosok negara menumbangkan BN pada beberapa pilihan raya umum yang lalu.
Mereka ini dahulu ketika era blog, membina blog-blog mengutarakan pandangan sama ada bernas, berbentuk akademik mahupun gosip politik ataupun hanya sekadar melepaskan geram mengutuk BN dan kepimpinannya.
Tujuan mereka berblog ketika itu adalah untuk membunuh kerajaan BN. Parti-parti pembangkang mendapat dukungan kuat dari aktivis-aktivis ini. Mereka membina blog atas daya usaha mereka sendiri secara sukarela tanpa bayaran.
Mereka membuat poster, grafik, video pendek, juga turut berceramah, mengedar risalah dengan tanpa diupah. Dan hari ini, ketika mereka menghentam HARAPAN, mereka dituduh menerima 'dedak' daripada Najib.
Ini kesilapan besar pembangkang dalam melayan secara angkuh kumpulan #UndiRosak ini. Jika pemain kempen #UndiRosak ini dilabel sebagai pemakan dedak Najib, adakah tentera-tentera baru pembangkang hari ini adalah 'kontraktor-kontraktor kenyang' yang berasa terpanggil untuk mempertahankan tuannya?
Makan dedak jugakah?
Mengapa mereka gerakkan kempen #UndiRosak
Satu sahaja. Kerana HARAPAN menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Tidak perlu berhujah tentang realpolitik, agenda masa depan, reformasi total dan segala teori ataupun memetik sirah dan nas, jawapan mereka cuma satu; tolak bapa segala kemusnahan negara selama ini!
Jalur yang senada
Sebenarnya kempen undi rosak telah dijalankan oleh segolongan kaum Cina penghujung tahun lalu kerana tidak puas hati dengan DAP serta kepimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang dianggap angkuh.
Gelaran 'tokong' yang diberikan kepada Guan Eng telah menular dengan lebih kuat lagi selepas kejadian banjir besar di Pulau Pinang tahun lalu yang menyaksikan keangkuhan ketua menteri itu menanganinya.
Wakil rakyat DAP sendiri yang prorakyat diketepikan. Belum lagi isu kilang haram yang amat jelas, kerajaan DAP terlalu menyebelahi tauke besar, bukan rakyat.
Kempen undi rosak oleh kaum Cina ini ditulis oleh Yeoh Cheong Ee di portal atas talian The Malaysian Insight pada 5 Disember 2017 lalu.
Blog, laman sesawang dan 'Facebook Page' dalam bahasa Cina telah tumbuh membawa kempen ini.
Selain faktor tolak Mahathir, antara lainnya ialah tidak percaya dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Boikot pilihan raya atau undi rosak disebabkan oleh rasa kurang yakin rakyat dengan ketelusan SPR ini telah ditulis oleh penulis terkenal Faisal Tehrani, “Mengapa Shali tidak mahu mengundi” di Free Malaysia Today, 18 Januari yang lalu.
Jelaslah, permasalahan ini semakin menggusarkan HARAPAN.
Mengapa HARAPAN gusar?
Kerana hal-hal berkaitan persempadanan semula, pendaftaran pemilih dan lain-lain masih belum selesai.
Lapan tuntutan BERSIH untuk pilihan raya umum yang adil dan telus masih di jalan buntu. Dalam keadaan terhad dibuli jentera BN termasuklah SPR yang didakwa oleh mereka sepanjang masa sebagai berat sebelah, kehadiran tentera #UndiRosak semakin menjerut tengkuk.
Kealpaan pembangkang untuk konsisten memperjuangkan ketelusan pilihan raya kerana khayal berbulan madu sepenggal dengan kenaikan seratus peratus elaun dan gaji sebagai 'wakil rakyat' kini menjadi momok yang menghantu fikiran.
Berpengaruhkah 'keyboard warrior' ini?
Imbas kembali tsunami politik 2008 yang membuatkan BN hampir tersungkur, antara sebabnya ialah gagalnya mereka mengikut trend 'berblog' pada waktu itu kerana menyangka media cetak dan media elektronik mereka sudah cukup kuat.
Ekoran dimalukan sebegitu teruk, Umno telah mengeluarkan biaya yang besar menubuhkan skuad cybertrooper untuk menangkis keyboard warrior pro-Pakatan Rakyat.
Inilah yang harus dikenang oleh pimpinan pembangkang.
Ketika cybertrooper mendapat upah menyerang mereka, keyboard warrior membela mereka dengan sukarela. Mengapa hari ini ada di dalam kepala mereka, askar-askar alam maya ini yang dahulunya membela mereka tanpa mereka bayar kini telah diupah oleh musuh untuk menghentam mereka pula?
Jika mahkamah tidak menyebelahi mereka, mahkamah korup. Jika lepas, mahkamah baik. Jika menang pilihanraya, baik. Jika kalah, SPR tipu.
Benar, kempen #UndiRosak ini hanya berlegar di alam maya, tetapi seperti kata Mahatma Gandhi.
“Mulanya mereka mengabaikan kamu, kemudian mereka tertawakan, lepas itu mereka lawan kamu, dan akhirnya kamu menang.”
Pada awalnya memang mereka memperlekehkan kempen #UndiRosak ini. Mungkin mereka menyangka ia hanya parodi atau tidak serius seperti kempen 'PUNDAK (Parti Undi Rosak') yang wujud penggal yang lalu.
Tetapi sekarang HARAPAN sudah mula goyang. Anehnya, sehingga tempoh ini yang kelihatan tidak menunjukkan respon tergugat dek kempen #UndiRosak ini adalah parti gergasi seperti Umno dan PAS.
Sebab itulah ada tuduhan bahawa gerakan ini adalah gerakan tajaan kedua parti tersebut. Taktik menuduh sebagai askar upahan Najib untuk memberikan nama busuk kepada pemain gerakan #UndiRosak ini tidak akan menyelesaikan mimpi ngeri HARAPAN.
Sebaliknya, cabaran HARAPAN dalam pilihan raya umum akan datang akan menjadi lebih getir apabila terpaksa berhadapan dengan dua musuh serentak iaitu BN dan gerakan undi rosak.
HARAPAN yang masih berharapan
Namun begitu, HARAPAN masih punya masa untuk menyusun semula strategi sama ada mengambil langkah berkompromi dan berunding semula dengan 'gerakan yang tidak disusun dalam bentuk organisasi' ini demi untuk lebih fokus kepada matlamat asalnya.
Apa formulanya, bagaimana penyelesaiannya, masa menentukan. Tetapi jika HARAPAN berasa tidak perlu melayan, HARAPAN masih mempunyai kelebihan dan mampu menjelajah ke seluruh negara menyampaikan mesej melalui kempen kesedaran mengajak rakyat menggunakan hak mereka keluar membuang undi.
Sementara gerakan #UndiRosak hanya setakat berlegar di alam maya sahaja kerana gerakan ini tidak disusun sebagai sebuah badan organisasi. Mereka belum pasti akan muncul di medan nyata untuk menemui rakyat dan mengajak rakyat untuk rosakkan undi.
Tetapi tidak mustahil, gerakan maya #UndiRosak yang sekarang ini menjadi hantu di dalam mimpi HARAPAN tiba-tiba boleh menjelma di alam nyata dan merasuk rakyat khususnya pengundi muda sehingga memberikan impak besar kepada keputusan pilihanraya.
Ya, undi rosak tidak memihak kepada HARAPAN tetapi undi rosak juga tidak menambahkan undi BN. Yang nyata, dalam keadaan pilihan raya yang penuh tempang, undi rosak akan membenam HARAPAN. Inilah sebabnya mengapa #UndiRosak menakutkan HARAPAN. Masihkah HARAPAN ada harapan?
_______________
Rujukan:
https://malaysiakini.com/news/409525