https://youtu.be/OLFGaMpUAhI
Berikut adalah transkrip Wawancara Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak:
DATUK AZNIL: Dalam kesibukan jadual, Datuk Seri dapat meluangkan masa untuk kita bual, kita melihat kembali kepada sudut yang lebih ringan untuk kita bercakap tentang kehidupan rakyat dan kepentingan rakyat.
Saya rasa ini bukan calang-calang orang yang boleh menerima tugas yang seberat itu, memerlukan fizikal dan dari segi kesihatan macam mana Datuk Seri?
PERDANA MENTERI: Alhamdulillah saya dapat melakukan apa yang diperlukan bagi menjamin kesihatan fizikal, kesihatan mental dan emosi sebab mesti ada keseimbangan dalam hidup kita. A balance life. Sebab itulah saya mementingkan antaranya riadah, maknanya bersukan.
AZNIL: Apakah sukan yang Datuk Seri lakukan semasa beriadah?
PM: Dua, satu saya workout dalam gimnasium. Saya ada trainer sendiri tetapi kadang-kadang tak ikut jadual juga kerana terlalu sibuk dan kalau ada masa lapang saya main golf juga. Dalam pada itu, saya suka tengok sukan dalam televisyen. Itu pun bagi saya dapat menenangkan fikiran saya.
AZNIL: Dari segi pemakanan pula macam mana? Datuk Seri sangat fokus saya lihat, walaupun dengan kesibukan jadual. Itu bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal sahaja tetapi memerlukan mental, jadi mungkin mendapat keseimbangan daripada nutrisi makanan juga.
PM: Dari segi pemakanan saya ada satu masalah. Sebab saya suka makan. Jadi bila suka makan, saya kena kawal sikitlah. Jadi kalau ada makanan sedap, saya boleh makan apa saja jenis makanan. Western ke, eastern ke, middle eastern ke, tak kiralah, asalkan ia sedap, halal. Insya Allah, jadi tidak ada sesuatu kekangan bagi saya hendak menambah. Jadi saya kena menentukan disiplin sikit.
AZNIL: Datuk Seri apabila kita melihat isu kos sara hidup adakah BR1M ini dapat membantu? Sebab ada banyak cerita di sebalik BR1M, ada kata ia sebagai gula-gula, ada kata ia tidak berkesan. Adakah Datuk Seri percaya pada jenama BR1M itu?
PM: Sebenarnya pendekatan atau dasar subsidi ini bukan suatu perkara baru. Dulu pun ada subdisi tetapi subsidi itu subsidi pukal yang kita masukkan dalam barangan atau produk. Misalnya subsidi minyak, RON95, RON97, diesel dan LPG. Dan suatu ketika dahulu, dalam masa empat tahun yang dulu, kemuncaknya subsidi itu kalau tak silap subsidi melonjak kepada RM22 bilion setahun.
Jadi bila saya lihat angka itu, saya kata ini membazir. Kalau beri secara pukal yang untung orang yang berkereta besar. Tapi orang yang miskin ini, yang bawa Honda Cub, tidaklah berapa besar untung berbanding orang yang pakai kereta besar, contohnya Mercedes dan sebagainya. Eloklah kita kurangkan subsidi pukal dan ganti dengan subsidi bersasar. Timbullah cadangan kita buat BR1M ini.
Bila buat BR1M kita lebih targeted, lebih fokus kepada golongan yang memerlukan. Jadi kita hapuskan subsidi minyak, hampir tidak ada. Kita katakan rasionalisasi subsidi dan hasil yang kita jimat, kita pindah kepada BR1M. BR1M terus kepada orang yang memerlukan bantuan.
Jadi apa salahnya, tidak ada salahnya. Kita juga memberi bantuan kebajikan, hatta kerajaan-kerajaan negeri di bawah pembangkang juga memberi bantuan kewangan secara sedemikian walaupun jumlahnya jauh lebih kecil tetapi prinsipnya sama. Kita lihat bahawa Kumpulan B40, mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, inilah kelompok yang perlu beri bantuan.
Lepas tu ada pula kata yang RM3,400 berilah sikit.Lepas itu kata mereka yang bujang, pendapatan RM2,000 ke bawah kita bagi sedikit bantuan. Jadi semua sekali kita rangkumkan dalam BR1M. Saya lihat BR1M ni masih lagi dikehendaki dan diterima baik oleh rakyat.
Buktinya baru-baru ini saya rasmikan UTC di Seremban. Saya masuk pejabat cawangan LHDN, ramai di situ bukan semak cukai tetapi menyemak nama mereka ada dalam senarai BR1M ke tidak.
Jadi kalau mereka tak hendak BRIM, takkan mereka ke LHDN. Lagipun kita sudah membuat survey dan banyak orang suka BR1M. Lagipun kalau tak hendak BRIM, janganlah ambil BR1M. Kalau tak suka pada BR1M, kalau kutuk BR1M, janganlah ambil BR1M.
AZNIL: Pada waktu yang sama kerajaan meneruskan bantuan kesihatan dan pendidikan. Ini adalah perkara yang dapat membantu kos sara hidup. Boleh Datuk Seri jelaskan?
Ini adalah dikatakan indirect subsidi tetapi ramai orang tidak sedar. Misalnya di tempat yang sama di UTC ada Klinik Rakyat 1Malaysia, ada orang tengah betulkan gigi. Bayaranya RM1. Kalau di pergi swasta dia kena beratus ringgit.
Ada sistem locker, diberi nombor kombinasi, kita buka locker itu adalah ubat-ubat kita. Ada seorang itu, dia mengidap penyakit diabetes, jadi bila saya bukak locker itu, saya serahkan ubat, sebeban ubatnya. Saya tanya pada doktor berapa ubat, doktor kata percuma sebab rawatan dan jumpa doktor di klinik kerajaan bayar RM1 sahaja. Ubat-ubatan free (percuma), jadi tengok banyak subsidi yang kita beri kepada rakyat.
Selain itu, pendidikan sekolah rendah, menengah, tadika, percuma. Kalau ada yuran PIBG sedikit. Masuk universiti kita tampung 90 peratus perbelanjaan, yang dikenakan cuma 10 peratus. Itupun kalau tidak mampu kita beri pinjaman PTPTN.
AZNIL: Datuk Seri selain BR1M, bantuan pendidikan, perumahan dan kesihatan. Yang paling besar dilihat sekarang ada GST. Dalam pada memberi, tiba-tiba ada GST pulak. Adakah Datuk Seri dengar bahawa banyak rungutan dek kalangan rakyat yang bercakap tentang GST sebagai satu beban. Bagaimana Datuk Seri terpaksa menjadi tidak popular dengan prinsip dan GST?
PM: GST ini adalah sistem percukaian yang sangat progresif. Kalau tak progresif, takkan 165 buah negara dunia menggunakan GST. Yang terbaharu ini, negara India dan negara-negara teluk pun, 1 Januari ini akan memperkenalkan GST. Kalau tidak ada GST, kita terpaksa guna SST. Kita tidak cukup menampung perbelanjaan negara.
Jadi apabila harga minyak jatuh, merudum daripada AS$110 kepada AS$30 setong, sepatutnya Malaysia ini sebagai sebuah ekonomi, kita terjerumus kepada recession (kemelesetan) tetapi kita tidak ada melalui recession. Bila ada recession, ekonomi menguncup. Bila ekonomi menguncup orang kena buang kerja, peluang perniagaan terbatas, orang susah dan sebagainya tetapi keadan hidup berjalan macam, biasa tidak ada apa-apa kesan.
Minyak turun merudum pun kita masih lagi tidak buang penjawat awam, perbelanjaan kerajaan berjalan seperti biasa walaupun ada sikit pengurangan. Tetapi umumnya orang tidak dapat kesan dengan kejatuhan harga minyak dan komoditi kepada negara kita.
AZNIL: Ramai tanya, duit-duit dikutip oleh kerajaan melalui GST, pergi mana sebenarnya?
PM: Kita punya perbelanjaan telus. Bila kita ada GST, kita gunakan untuk program-program yang saya sebutkan tadi, BR1M, tolong nelayan, pesawah padi, perbelanjaan kesihatan dan pendidikan.
Umpamanya tahun sudah, kita belanja untuk kesihatan RM24 bilion. Kutipan kita cuma RM600 juta sahaja. Jadi, perbezaan itu kita tampung melalui pendapatan GST.
AZNIL: Dalam Bajet 2018, peruntukan besar untuk pendidikan dan kesihatan. Kedua-dua bidang ini dikatakan mewah dengan peruntukan dari kerajaan. Mengapa kerajaan meneruskan peruntukan tinggi untuk kedua-dua komponen ini?
PM: Kedua-dua ini penting untuk kesejahteraan rakyat. Sebab ini dikatakan pembangunan sosial termasuk pembangunan modal insan untuk masa depan negara kita. Kita mesti menyediakan generasi baru kita cukup dengan ilmu terkini dan pendidikan sebaik-baiknya.
Kesihatan pula, kalau tidak ada perkhidmatan kesihatan yang baik, maka sudah tentu ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu tetapi produktiviti negara pun akan terjejas. Jadi ini satu-satu tanggungjawab kerajaan yang perlu dilaksanakan.
AZNIL: Rakyat kita juga boleh dikatakan melihat sesuatu yang dilakukan oleh Datuk Seri menggunakan dana yang besar dalam membangunkan infrastruktur seperti MRT, HSR, ECRL, Pan Borneo. Projek-projek ini memerlukan perbelanjaan yang luar biasa tingginya. Bolehkah kita bina semuanya, yang kos besar dan tidakkah membebankan rakyat pada akhirnya?
Tidak. Ia akan merangsangkan ekonomi. Bila kadar pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, ia akan memberi banyak faedah kepada rakyat.
Yang kedua, bila kita bina infra rakyat, ia memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak kita. Anak-anak kita, ratusan ribu setahun keluar univerisiti dalam dan luar negara. Takkan semua nak kerja dengan kerajaan.
Bila kita buat projek MRT, cuba tengok siapa yang buat kerja itu. Saya sudah pergi tengok, saya tengok anak muda kita. Ada yang datang dari kampung, dapat peluang. Dia keluar (universiti) sebagai jurutera, dia hendak kerja di mana? Takkan semua hendak kerja dengan JKR. Jadi kita buat projek macam ini, mereka dapat peluang bekerja dengan MMC, Gamuda, subkontraktor yang lain.
Lepas itu produktiviti negara kita, kalau kita tersangkut dalam kesesakan jalan raya hari-hari, kita marah pada kerajaan juga. Produktiviti kita terjejas. Kalau tiga jam pergi kerja, tiga jam waktu balik, satu hari enam jam. Kalau orang tengok, orang akan perlekehkan Malaysia dan macam nak kata kita menjadi negara maju.
Jangan lupa pencemaran udara. Ada bandar-bandar di mana kita kena pakai mask pada bulan-bulan tertentu. Satu, dua bulan kena pakai mask. Tetapi tengok udara kita bertambah baik.
AZNIL: Apa sebenarnya rumah mampu milik sebab dikatakan kerajaan menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat sedangkan masih ramai tidak mampu lagi.
PM: Kita kena sediakan lebih banyak rumah yang sesuai. Bila kata rumah mampu milik, kita ikut pada kemampuan. Kalau pendapatan B40, RM3,000 ke bawah, jenis rumah mampu milik sudah tentu tidak sama kalau kita M40.
Kalau kita M40 dalam kategori RM300,000 ke bawah. Tetapi kalau kita dalam kategori B40, dalam RM70,000, RM60,000 itulah kemampuan kita. Kerajaan akan perbanyakkan rumah mampu milik dan saya lihat sudah banyak pun berjalan, masih banyak lagi (diperlukan) tetapi masalahnya hendak dapatkan tanah. Sebab tanah di bandar mahal. Kita hendak dapat tanah dengan harga minimum, lebih mudah kita bina rumah mampu milik terutama sekali untuk B40.
Rumah PPR kita umpamanya cukup banyak subsidi. Sebab bayaran kita RM35,000 sedangkan kos sebenarnya sampai RM140,000. Maknanya satu unit, lebih RM100,000 yang merupakan subsidi kerajaan.
AZNIL: Kita lihat secara kasar ialah menyediakan punca kewangan untuk mereka memiliki rumah dan juga cara untuk mereka memiliki secara pinjaman disenangkan, dilunaskan, dilihat tools untuk memiliki rumah itu dimudahkan lagi. Adakah itu juga dilihat oleh kerajaan dalam membantu mereka memiliki rumah?
PM: Ya memang kita tengok dari segi pinjaman yang boleh diperolehi dari institusi kewangan dan juga skim pinjaman kerajaan dan sebagainya. Ia tertakluk kepada kemampuan kita dari segi had maksima pinjaman berdasarkan pendapatan kita. Jadi kalau kita dalam lingkungan yang boleh diluluskan, bank memang meluluskan. Tetapi kalau lebih daripada kemampuan kita bayar balik, itu yang kadang-kadang tersangkut dari segi kelulusan.
AZNIL: Orang kata hutang negara yang besar tidak terurus dan pada masa sama kejatuhan nilai ringgit menyebabkan negara akan muflis. Muflis ke Datuk Seri, ramai takut ni.
PM: Memang tidak benar sama sekali. Kalau kita sebagai sebuah negara keadaan kita sentiasa dipantau oleh badan-badan penarafan. Kita ada Moody’s, Fitch, kita ada IMF, World Bank yang datang secara berkala di Malaysia. Mereka akan tengok segala-galanya. Daripada siasatan mereka secara terperinci, mereka masih mengekalkan penarafan Malaysia pada A- dan outlook (tinjauan) yang stabil. Bererti bahawa kita dalam kelompok negara A. Ada banyak negara dalam kelompok B, C dan keadaan yang jauh lebih dahsyat daripada kita.
Kalau hendak kata kita bankrap, tentulah kelompok B, C akan bankrap lebih awal daripada A, betul tak? Jadi takdalah tanda-tanda yang kita nak bankrap dan rizab kita jauh lebih besar daripada rizab semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dahulu. Pada ketika itu kita punya rizab lebih kurang AS$20 bilion. Sekarang ini sudah lebih AS$100 bilion, maknanya lima kali ganda daripada keadaan rizab ketika itu.
Kenapa ketika itu tidak timbul cerita Malaysia nak bankrap? Patut masa itulah, harga mata wang kita merudum, banyak syarikat bankrap, kenapa tidak timbul? Sebab ini mainan politik sebenar. Ini elemen economic sabotaj, kalau hendak jatuhkan kerajaan, hilangkan keyakinan rakyat kepada kerajaan atau menimbulkan kebencian.
AZNIL: Tidakkah ini satu benda yang menikam negara sendiri, sabotaj ekonomi sendiri dilakukan oleh orang kita?
PM: Ya, tentu sekalilah, apatah lagi dengan media sosial. Dulu tidak ada media sosial. Dulu dia mengutuk dan memomok kerajaan, ia dalam ceramah sahaja tetapi sekarang dalam real time. Itu bezanya.
AZNIL: Mengenai kejatuhan ringgit pula macam mana. Pernah suatu ketika nilai ringgit kita diikat (ditambat) dan Datuk Seri nampak tak kemungkinan ia dikat lagi?
PM: Tidak boleh. Kalau kita ikat, pelabur-pelabur dan pasaran dunia akan hilang keyakinan pada kita, malah kalau kita ikat dan tambat ringgit dulu secara artificial, kesannya lamanya juga untuk memulihkan keyakinan pasaran dunia kepada kita. Jadi kita kehilangan banyak pelaburan dan juga market confidence (keyakinan pasaran) kepada kita. Jadi, sebab itu kita sudah kata bahawa kita tidak akan melakukan tambatan ringgit. Kita pastikan fundamental kita kuat. Jika asas ekonomi kita kuat, lama-kelamaan ringgit akan mencerminkan nilai sebenarnya.
Ini yang berlaku pada ringgit mutakhir ni kerana dasar negara maju, terutama sekali Amerika Syarikat dari segi interest rate (kadar faedah) mereka. Apabila interest rate mereka naik, duit atau modal akan mengalir dari negara emerging economies (negara-negara baru muncul) kepada negara maju. Itu kesannya.
Kedua, kesan kejatuhan harga minyak. Dua faktor ini yang luar daripada kawalan kita.
AZNIL: Dan Mungkin tambatan ringgit berjaya ketika itu?
PM: Ya tetapi kosnya tinggi, sangat tinggi. Jadi itu ditimbulkan persoalan sama ada langkah itu wajar atau pun tidak. Itu pun kita boleh debate (debat) sama ada baik atau sebaliknya. Tetapi kita tidak boleh mengulangi perkara itu. Alhamdulillah sebulan, dua ini kita sudah dapat lihat dasar kita memang ringgit semakin kukuh. Banyak kata ia akan terus meningkat lagi.
Dalam media sosial ini, pendapat seorang itu tidak semestinya pendapat yang tepat, itu pendapat individu. Jadi orang kita tak faham, media sosial ini banyak, ia pendapat. Sama ada pendapat mereka jujur atau bermotifkan politik tetapi itu pendapat. Pendapat itu tidak semestinya adalah kebenaran. Didengari, tetapi jangan kita terima, jangan kita terima, telan bulat-bulat.
AZNIL: Satu lagi isu yang dilihat mengenai harga minyak. Mula-mula ada yang kata harga minyak patut diapungkan. Bila diapungkan, mereka dapat lihat harga minyak di luar kawalan mereka pula. Bila naik dan naik mereka bersuara. Bila turun mereka senyap Datuk Seri. Bagaimana kerajaan menangani persoalan dan cerita-cerita mengenai minyak ini?
Kita kena membiasakan rakyat dengan turun naik harga minyak sebab di negara maju harga minyak berubah tiap-tiap hari. Kita rasa kita ini mengapungkan tetapi manage float dan kita sudah beritahu bahawa kita tidak mampu hendak memberi subsidi pukal, sebab itu buat subsidi secara lebih fokus. Cuma kalau harga minyak naik
terlalu tinggi melepasi RM2.50. RON95 RM2.50 kerajaan akan membuat sesuatu untuk membantu rakyat. Itu kita sudah bagi jaminan.
AZNIL: Ada soalan yang bermain diminda bahawa Transformasi 50 (TN50) hendak menidakkan Wawasan 2020. Adakah itu benar Datuk Seri?
PM: Tidak. Saya melihat ini sebagai kesinambungan sebab kita perlu visi baru selepas tahun 2020 dan kita tidak boleh mula pada tahun 2020. Kita kena mula dari sekarangkan sebab kita memerlukan satu tempoh di mana kita hendak mengumpul segala cadangan dan pandangan daripada rakyat.
Saya mahu TN50 ini berbeza pendekatan dengan Wawasan 2020, bukan menidak tetapi berbeza sebab Wawasan 2020 itu top down. Tetapi saya hendak TN50 ni bottom up, saya hendak datang daripada rakyat. Saya mahu visi baru ni visi yang benar-benar daripada rakyat, visi yang mencerminkan aspirasi rakyat.
Jadi kita buat siri dialog, macam-macam kelompok. Bukan saya saja, menteri-menteri lain dalam proses ini dan kita hendak rumuskan semua sekali dan jadikan visi baru untuk negara. Saya sudah mula bayangkan tetapi tidaklah menyeluruh lagi. Belum complete (lengkap). Saya katakan saya hendak Malaysia menjadi negara Top 20. Menjadi 20 negara terunggul, teratas di dunia. Itulah menjadi hasrat, aspirasi kerajaan tetapi belum complete. Kita tengah kumpulkan apa kehendak dan aspirasi rakyat, misalnya banyak hendak soal alam sekitar, Malaysia jadi green, kehijauan negara kita, alam sekitar mesti dijaga sebaik-baiknya, digital Malaysia. Mereka hendak lifestyle (gaya hidup) baru, umpamanya. Macam-macam, idea yang sangat baik.
AZNIL: Bagaimana Datuk Seri hendak menjangkakan 30 tahun akan datang?
PM: Amat sukar tetapi kita sudah lihat tanda-tanda, bayangan dunia baru. Misalnya di negara China, ini bukan satu masa depan, sudah berlaku sekarang ini. Sudah ada kelulusan mikro kredit menggunakan platform Alibaba yang dipanggil 310. Maknanya kalau kita membuat permohonan untuk mendapat mikro kredit. Permohonan itu, komputer memerlukan masa 3 minit sahaja untuk proses dan 1 minit untuk pindahkan duit secara elektronik. 0 kerana tidak ada interface (bersemuka) dengan manusia sama sekali.
Dengan menggunakan big data, sebab sudah ada maklumat pendapatan, perbelanjaan kita, dari segi trend perbelanjaan dan pendapatan, komputer boleh tentukan sama ada kita layak mendapatkan pinjaman itu.
Jadi itulah bayangan, itu hari ini belum 20, 30 tahun akan datang.
AZNIL: Sangat berbeza menguruskan negara pasa suatu ketika itu berbanding sekarang. Dan, Datuk Seri keluar daripada acuan konvensional itu dan menjadi seorang yang begitu faham mengenai digital umpamanya, perniagaan atas talian yang juga ramai rakyat Malaysia terlibat.
PM: Betul, sebab itu saya buat DFTZ bersama-sama dengan Jack Ma, yang pertama di luar negara China. Sudah pun dilancarkan, sudah pun dilaksanakan.
AZNIL: Adakah pilihan raya kita sudah dekat Datuk Seri?
PM: Dah dekatlah. Semakin dekat.
AZNIL: Terima kasih Datuk Seri, Ada sesuatu yang Datuk Seri ingin katakan mengenai masa depan negara kita?
PM: Saya optimis tentang masa depan negara kita sebab kita sebuah kerajaan yang memikir tentang keadaan semasa, hari ini. Dan sebuah kerajaan yang juga memikir masa depan rakyat dan negara.
Kita tidak sanggup mengorbankan masa depan negara kita dengan langkah-langkah populis semata-mata. Itu bukan kerajaan kita.
Kerajaan kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, yang memikir kehendak dan keperluan rakyat hari ini dan juga akan menjamin masa depan yang lebih baik lagi. Insya-Allah.