Selepas dua tahun yang mencabar untuk sektor minyak dan gas pada 2015 dan 2016, 2017 menjadi tahun yang lebih melegakan buat Petronas.
Gergasi minyak nasional itu menyaksikan keuntungan selepas cukai melonjak 91 peratus bagi 2017 kepada RM45.5 bilion, dengan pendapatan turut meningkat 15 peratus kepada RM223.6 bilion bagi tempoh yang sama.
Petronas berkata, lonjakan keuntungan selepas cukai disokong oleh peningkatan pendapatan, susut nilai lebih rendah terhadap aset dan telaga minyaknya serta inisiatif penjimatan kos sepanjang tahun lalu.
Manakala kenaikan harga produk dan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika membantu menolak naik pendapatan syarikat itu pada 2017.
“Kami terus mengurangkan kos pada 2017, dengan perbelanjaan modal boleh dikawal turun RM3 bilion berbanding 2016,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sewaktu mengumumkan keputusan kewangan syarikat itu untuk suku keempat 2017.
Petronas turut menyaksikan EBITDA meningkat dari RM70.7 bilion kepada RM92 billion dan aliran tunai bebasnya meningkat 41 peratus kepada RM75.7 bilion.
“Pemulihan harga minyak global memainkan peranan amat penting dalam membolehkan kami mencapai prestasi kukuh pada 2017 berbanding 2016,” tambah Wan Zulkiflee.
Petronas membayar dividen RM16 bilion kepada kerajaan pada 2017, berbanding RM13 bilion pada tahun sebelumnya.
Syarikat itu menyasarkan bayaran dividen RM19 bilion bagi 2018.