Tiga kesan pemansuhan BR1M

1. Adalah kesilapan besar jika BR1M dimansuhkan. Terdapat tiga kesan buruk pemansuhan BR1M. Kesan yang pertama ialah ketidakseimbangan penyaluran hasil Kerajaan yang menyebabkan ketidakadilan sosio-ekonomi rakyat. BR1M adalah satu cara untuk memberikan bantuan bersasar kepada golongan yang memerlukan selepas rasionalisasi subsidi dan cukai barangan dan perkhidmatan dilaksanakan. Pembayaran BR1M dahulu ditampung daripada kutipan cukai jualan GST.

2. Jika harga minyak masih tidak turun dan cukai jualan baru yang lebih tinggi iaitu SST pula dikenakan sehingga 10% tetapi BR1M dimansuhkan, bantuan timbal balas bersasar dan berkesan tidak dapat disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah yang terkesan dan tertekan oleh kenaikan kos sara hidup akibat dasar cukai SST 10% dan harga minyak yang tinggi oleh Kerajaan.

3. SST adalah suatu bentuk “tax break” kepada peniaga kerana ianya tiris dan memudahkan peniaga untuk lari dari cukai berbanding GST, oleh itu ramai peniaga yang tidak bertanggungjawab akan untung dengan SST. Dan harga barang akan naik walhal kutipan cukai kerajaan menurun kerana ketirisan cukai SST. Adalah dianggarkan bahawa ketirisan cukai SST adalah melebihi RM10 billion setahun, jumlah ini cukup untuk menampung pembayaran BR1M kepada golongan miskin dan memerlukan.

4. Bukankah tidak waras apabila Kerajaan memberikan “tax break” kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan dengan ketirisan SST namun menarik balik bantuan BR1M kepada rakyat yang memerlukan? Ini tidak adil untuk rakyat dan suatu dasar yang tidak bijak. Kesannya ialah peniaga-peniaga yang kaya akan menjadi lebih kaya kerana hasil ketirisan “disalurkan” kepada mereka yang “diambil” daripada rakyat yang memerlukan.

5. Kesan yang kedua ialah peningkatan kos bantuan kerajaan. BR1M adalah bantuan tunai secara langsung kepada rakyat. Bentuk bantuan lain selain tunai seperti kupon atau setem makanan (“food stamp”) atau bantuan makanan adalah terdedah kepada ketirisan oleh orang tengah yang meningkatkan kos bantuan.

6. Satu kajian yang dijalankan oleh US Naval Postgraduate School ke atas program-program bantuan rakyat di Mexico mendapati bahawa penerima bantuan wang tunai menerima kesan positif dari segi keseimbangan nutrisi dan kesihatan kanak-kanak, sama dengan penerima bantuan barang makanan. Akan tetapi, kos pengurusan bantuan barang makanan adalah 20% lebih tinggi dari kos pengurusan bantuan wang tunai. Kajian tersebut juga mendapati penerima bantuan wang tunai tidak menggunakan wang tersebut untuk membeli rokok atau arak. Malah, dengan lebihan wang tunai dari bantuan yang diterima, mereka dapat menggunakannya untuk sekolah, perubatan dan pengangkutan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

7. Malah bantuan secara kupon adalah satu bentuk ‘paternalisme’ Kerajaan yang kononnya tahu tentang semua keperluan rakyat dan tidak percaya kepada rakyat untuk membelanjakan wang tunai dengan bertanggungjawab. Kerajaan seperti ini adalah kerajaan yang angkuh dan tidak percaya kepada rakyat.

8. Kesan yang ketiga ialah kehilangan peluang pertumbuhan ekonomi. BR1M adalah baik untuk ekonomi setempat di bandar mahu pun di luar bandar. Setiap kali rakyat menerima BR1M, mereka akan berbelanja untuk membeli barang keperluan. Ini bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah juga peniaga dan pembekal serta memberi kesan positif kepada keseluruhan kitaran roda ekonomi.

9. Tanpa BR1M, tahun-tahun ke hadapan adalah tahun yang amat mencabar bagi rakyat terutama yang berpendapatan rendah. Saya jangkakan ekonomi negara akan menjadi teruk. Ini adalah kerana pengurusan dan dasar ekonomi yang tidak cekap oleh Kerajaan. Baru-baru ini Bank Negara telah mengubah dan menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2018 daripada 6% sebelum ini turun kepada 4.5% ke 5% kini.

10. Cukai SST akan menaikkan harga barang. Keadaan ini diterukkan pula dengan lebih ramai rakyat akan hilang pekerjaan akibat pemberhentian oleh Kerajaan dan oleh pembatalan projek-projek pembangunan infrastruktur. Gaji penjawat awam juga tidak naik dengan pembatalan skim Kenaikan Gaji Tahunan (KGT). Apabila tiada kerja atau bekerja dengan gaji yang rendah, mereka tidak akan berbelanja dan lebih teruk lagi akan berhutang. Dan apabila harga barangan naik akibat 10% SST dikenakan dan tanpa BR1M untuk membantu menampung tekanan ini, kitaran ekonomi akan menjadi perlahan dan kaku. Tidak lama selepas itu kegawatan akan berlaku. Apabila ini terjadi, semua orang akan rugi termasuk pengguna, peniaga dan pembekal khususnya dan rakyat serta negara amnya.

11. Pelaburan asing yang dahulunya melimpah masuk kini sekelip mata mengalir keluar berbillion ringgit nilainya akibat hubungan diplomatik dengan negara luar yang konfrontasional oleh pemimpin Kerajaan. Tanpa pelaburan ini lebih ramai rakyat tempatan akan hilang kerja. Ini menerukkan lagi keadaan.

12. Perdana Menteri Tun Mahathir berkata BR1M membuatkan rakyat malas. BR1M tidak membuat rakyat malas. Ramai penerima BR1M yang bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki namun masih tidak mampu untuk menampung perbelanjaan hidup sekeluarga. Ramai juga yang menggunakan duit BR1M untuk modal berniaga seperti membeli mesin jahit dan mesin rumput. Kebanyakan penerima BR1M adalah berkeluarga dengan tanggungan anak dan isteri.

13. Sejak perlaksanaan BR1M pada tahun 2012, produktiviti negara telah meningkat yang ditunjukkan melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan juga pendapatan per kapita rakyat. Hakikatnya ekonomi negara telah berkembang dengan stabil tanpa gangguan selama 9 tahun sejak tahun 2009 sehingga 2018. Mengikut data dan maklumat daripada Bank Negara Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi, pertumbuhan hampir sedekad ini telah didokong oleh perbelanjaan domestik, peningkatan produktiviti dan pendapatan rakyat, kesan daripada dasar-dasar ekonomi oleh pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dalam tempoh yang singkat sebanyak 100,000 keluarga telah berjaya dikeluarkan dari kepompong kemiskinan. Oleh itu mitos bahawa BR1M menjadikan rakyat malas yang dikatakan oleh Tun Mahathir adalah tidak benar.

14. Pertumbuhan dan kestabilan ekonomi era Najib ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan zaman krisis ekonomi yang kerap berlaku pada era tahun 1980-an dan 1990-an. Mungkin kali ini kita akan lihat kembalinya era ekonomi kroni-kapitalisme dan “trickle down economics” pada era lalu yang berakhir dengan krisis ekonomi terburuk dalam sejarah pada tahun 1997 sehingga 1999 di mana pertumbuhan ekonomi adalah negatif dan kadar pengangguran melonjak tinggi dengan beratus-ratus ribu orang kehilangan pekerjaan.

15. Pada era tahun 1980-an hingga 1990-an, ketika kerajaan sibuk membina menara pencakar langit dan kereta nasional, pembangunan jaringan keselamatan sosial seolah dilupakan. Walaupun kadar kemiskinan ketika itu setinggi 30%, hanya segelintir yang menerima bantuan kewangan dari kerajaan dan tiada yang mendapat bantuan kewangan jika mereka dibuang kerja atau menghadapi krisis kewangan.

16. Pemimpin Kerajaan pada ketika itu mempercayai bahawa jika kerajaan membantu beberapa orang untuk menjadi kaya-raya, orang-orang ini akan turut membantu rakyat yang papa kedana. Pentadbiran ketika itu menggunakan idea “trickle down economics” di atas sebagai polisi dalam usaha menyalurkan sebahagian besar sumber-sumber negara kepada beberapa peniaga terpilih untuk menjadi taikun bidang perniagaan masing-masing. Beberapa orang di atas menjadi kaya-raya. Akan tetapi tidak banyak dari kekayaan ini turun kepada rakyat jelata.

17. Antara tahun 1989 ke 1997 jumlah perkongsian pendapatan negara untuk golongan B40 yang berpendapatan rendah menurun dari 15% ke 13% berbanding dengan golongan T20 yang berpendapatan tinggi yang meningkat jumlah perkongsiannya dari 50% ke 52%. Peribahasa “Orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin” menjadi sangat benar ketika itu.

18. Berbanding era 1980-an dan 1990-an, pada tahun 2009 sehingga 2018 kadar pengangguran negara dikekang di bawah 3% dan kemiskinan tegar diturunkan ke paras di bawah 1% tanpa sebarang krisis ekonomi. Ekonomi negara dan pendapatan rakyat telah berkembang pada kadar lebih 5%, iaitu lebih tinggi berbanding kebanyakan negara-negara jiran termasuk negara maju Singapura dan lebih tinggi dari purata perkembangan ekonomi dunia. Dan pada masa tersebut kita mampu untuk memberikan BR1M kepada rakyat.

19. Ini membuktikan bahawa dasar-dasar ekonomi pentadbiran kerajaan sebelum ini telah berjaya menarik pelabur asing, mengembangkan ekonomi, mengurangkan kemiskinan, menambah pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

20. Namun dasar-dasar ekonomi pentadbiran kerajaan kini nampaknya membuat sebaliknya dengan menakutkan pelabur asing, menguncupkan ekonomi, membuang pekerja, menghapuskan bantuan sara hidup dan meningkatkan cukai ke atas rakyat.

21. Nampaknya hala tuju ekonomi Malaysia pada hari ini bukanlah ke arah Malaysia Baharu, namun kembali kepada Malaysia Lama 2.0. Allah selamatkanlah Malaysia.

ISHAM JALIL
30 OGOS 2018


...........
Rujukan:
http://pakdin.my/tag/br1m